Monday, February 4, 2008

Kenapa lawak Melayu slapstik?

Kenapa lawak Melayu terpaksa
bergantung kepada lawak slapstik?


Lawak slapstik bererti lawak yang menggunakan modal atau bahan yang berulang-ulang yang telah sering digunakan dan telah menjadi cliché. Lawak-lawak seperti berlagak pondan, menggunakan mimek muka yang bodoh, perbuatan yang bodoh, rasa terkejut yang dibuat berlebih-lebihan, dialog yang membawa pengertian berganda dan salah satu erti lagi boleh dianggap berbaur lucah, dsb, bolehlah dianggap sebagai lawak slapstik kerana ia telah acapkali ditayangkan di dalam filem-filem Charlie Chaplin, The Three Stoodges, filem-filem karya Seniman Agung iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Mr.Bean dan sebagainya.

Mr.Bean lahir dengan genrenya yang tersendiri kerana walaupun ia menggunakan aksi bodoh, tetapi ia dipamirkan dalam perpekstif baru yang disandarkan kepada suatu fakta bahawa Bean adalah suatu makhluk dari planet lain yang sedang belajar memahami manusia di bumi. Jadi, walaupun dari satu segi ia adalah lawak slapstik, namun lawaknya dapat diterima kerana ia tampak segar dan sebenarnya bersifat intelektual dalam slapstiknya.. Sebab itu bila siri komedi Melayu cuba mengambil menyalin watak Mr.Bean melalui Bendul, ia menjadi amat slapstik, memperbodohkan audien dan jadi amat membosankan.

Lawak-lawak dari kumpulan Senario juga, berbeza dengan lawak mereka semasa di awal kehadiran Senario dulu, yang walaupun slapstik tetapi dibentang dengan cara yang menyegarkan, sudah menjadi terlalu slapstik, terutamanya dalam slot yang dipersembahkan di TV3 sekarang. Asyik-asyik pelakon-pelakonnya menggunakan bahasa yang membawa pengertian berganda yang membayangkan maksud yang teramat lucah sebagai bahannya.
Persembahan peserta-peserta Raja Lawak di ASTRO, walaupun slapstik, tetapi dapat diterima dalam perpekstif mereka sebagai orang-orang yang baru diketengahkan sebagai pelawak. Ia menghiburkan menghiburkan namun jika itu yang diulang-ulang dan diulang pula oleh muka-muka yang sama, ia bakal membosankan.

Persoalannya, kenapa lawak Melayu jadi lawak slapstik dan akhirnya memualkan? Apakah mahu disalahkan pelawak-pelawak Melayu sedangkan mereka telah memerah tenaga dan keringat memberikan persembahan yang terbaik, mencari idea sebanyak mungkin untuk menghiburkan audien namun apa yang dijangka sebagai lawak akhirnya menjadi bualan kosong yang menghambarkan dan sama sekali tidak mencuit hati audien. Akhirnya mereka terpaksa mengambil jalan mudah – daripada membiarkan audien tidak ketawa sama sekali maka adalah lebih baik membiarkan audien mengetawakan mereka kerana tugas mereka ialah menjadikan audien terhibur dengan ketawa.

Kenapa susah benar menghasilkan lawak yang terhasil dari dialog yang natural, tidak menggunakan bahan yang berulang-ulang sehingga hilang ‘kick’nya. Sekali lagi ia tidak dapat lari daripada fakta bahawa perkataan yang panjang menghasilkan kesukaran untuk menghasilkan lawak yang tidak slapstik dan segar. Ini kerana lawak yang tidak slapstik hanya boleh dihasilkan menerusi dialog yang tajam dan mencuit hati serta mencabar intelektual audien. Lawak yang menggunakan lagak pondan, memek muka yang bodoh, perbuatan yang bodoh, rasa terkejut yang dibuat berlebih-lebihan, dialog yang membawa pengertian berganda dan berbau lucah, sudah pastilah akan menghasilkan kesan slapstik kerana ia telah terlalu acapkali ditonton. Ruang menghasilkan lawak dengan perlakuan-perlakuan ini tentulah amat terbatas kerana sifatnya sendiri yang juga amat terbatas.

Berbeza dengan lawak menggunakan perkataan, ia boleh sahaja menghasilkan lawak-lawak baru yang segar bila diadunkan dengan perkembangan semasa. Ia boleh dihasilkan menerusi kejutan yang tidak dapat dijangka oleh intelektual audien lantas ia menghasilkan deraian ketawa dan ketawa itu bukan kerana audien memperbodohkan pelakon, tetapi kerana merasa intelektualitinya tercabar. Namun untuk menghasilkan lawak sedemikian, pelakon mesti memberikan latar belakang yang mencukupi tentang sesuatu scene jika tidak mahu ungkapannya tidak memberi apa-apa kesan kepada mood audien.

Saya teringat kepada peristiwa yang dialami oleh saya sendiri pada tahun 1986 di mana saya dimasukkan ke wad selama dua minggu kerana mengidap malaria. Sebelum dimasukkan ke wad, saya telah dua kali ke klinik swasta dan sekali ke Hospital Besar Kuala Lumpur, mencadangkan kepada doktor yang saya mungkin terkena jangkitan malaria yang antara simptomnya adalah demam berselang hari. Beberapa hari sebelum itu pula saya berkunjung ke rumah ipar saya yang terletak di dalam kebun getah di Bera, Pahang. Walaupun saya tidur di dalam kelambu, tetapi kelambu kami amat sempit dan dan pintu dan birai kelambu mudah sahaja terkuak jika tersentuh oleh kaki atau tangan. Saya tidak boleh melelapkan mata sama sekali kerana disengat nyamuk tanpa henti sehingga tubuh saya penuh dengan bintat-bintat kesan gigitan nyamuk.
Namun semua doktor yang merawat saya tidak mempercayai saya kerana menurut mereka kejadian malaria di Malaysia bagaikan telah mustahil berlaku sama sekali. Pemeriksaan ke atas darah saya juga tidak menunjukkan yang saya mengidap malaria (virus malaria hanya boleh dikesan ketika ia aktif iaitu ketika pengidap mengalami demam yang kuat)

Suatu hari saya rebah di dalam kamar dan saya menyelinap ke bawah meja untuk mengurangkan rasa sejuk yang luar biasa dan tubuh saya menggigil dan kejang. Pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat meluru masuk ke dalam bilik dan segera mengejarkan saya ke hospital. Bila darah saya diperiksa, barulah doktor dapat melihat aktiviti virus malaria di dalam tubuh saya. Lalu saya ditahan di wad lebih kurang dua minggu. Semua pegawai dan kakitangan pejabat di Bahagian Gubalan dan di bahagian-bahagian lain heboh memperkatakan tentang saya – mungkin kerana mereka hairan atau memperlekehkan saya kerana mengidap malaria di dalam negara yang boleh dikatakan telah bebas hampir sepenuhnya dari malaria.

Tiga bulan kemudian saya mengidap demam sekali lagi. Rakan-rakan terus mengejarkan saya ke hospital kerana bimbang yang serangan malaria berulang kembali. Saya ditahan selama dua hari dan dilepaskan setelah doktor pasti bahawa demam tersebut adalah demam biasa dan bukan malaria.

Besoknya Bahagian Gubalan tempat saya bekerja mengadakan suatu majlis perpisahan untuk meraikan pegawai yang dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke bahagian lain. Sebaik Ketua Bahagian, Dato’ Aziz, melangkah masuk dan duduk di tempat yang dikhaskan untuk beliau, beliau terpandang saya dan terus bertanya, “Mokhtar, apa kata doktor tentang demam you?” Saya yang sudah menjangka yang soalan tersebut pasti akan ditanya oleh beliau, terus menjawab kuat, “Disahkan bukan malaria, Dato’.”


Tanpa saya duga, jawapan tersebut menghasilkan deraian ketawa yang bergemuruh daripada semua yang hadir. Dato’ Aziz yang bertanya juga tidak dapat menahan dirinya daripada turut sama tergelak.

“Klasik betul jawapan kamu, Mokhtar,” kata senior saya.

Apa yang menyebabkan audien ketawa ialah, jawapan yang padat dan rengkas itu menjawab pelbagai persoalan yang timbul. Sudah pastinya apa yang ingin diketahui oleh semua yang hadir pada masa itu adalah sama ada saya diserang malaria semula. Bila saya mengatakan, “disahkan bukan malaria”, bagi mereka, ia sudah cukup mencabar daya intelektual mereka , yang meng‘kagumi’ ketangkasan saya untuk membaca apa yang bermain di minda Dato’ Aziz dan semua yang hadir bila soalan itu dilontarkan.

Namun suasana ‘humor’ ini tidak akan wujud sekiranya hadirin yang hadir di dalam majlis itu tidak dibekalkan dengan fakta bahawa saya telah terjatuh dan menggigil di dalam kamar saya di pejabat, bahawa saya, seorang pegawai, telah diserang demam malaria di dalam negara boleh dikatakan telah bebas sepenuhnya dari ancaman malaria, dan bahawa saya telah berkali-kali berdebat dengan doktor dan rakan-rakan sepejabat bahawa saya terkena malaria dan mereka menidakkannya.

Namun dalam dunia kehidupan, ‘audien’ yang ter’hibur’ dengan jawapan saya telah dihidangkan dengan kisah tersebut, yang mengambil jangka masa yang amat lama. Sedangkan di dalam persembahan, sama ada menerusi ruang pentas drama, drama tv atau filem, kekangan masa menghadkan pembentangan latar belakang kepada apa yang menimbulkan unsur humor itu. Lebih-lebih lagi perkataan-perkataan yang panjang di dalam bahasa Melayu menyebabkan jumlah mesej yang mencukupi tidak dapat dibina di dalam perjalanan cerita untuk kemudiannya menghasilkan ungkapan yang dapat strike perasaan penonton supaya tidak dapat menahan diri daripada ketawa.

Sebuah filem lama Richard Chamberlain, “Allan Quartermail in the Lost City of Gold”. Dari awal cerita Allan, lakonan Richard Chamberlain, digambarkan sebagai seorang yang lasak, rugged, happy go lucky dan tidak begitu peduli tentang apa yang berlaku kepadanya atau kepada Helen, gadis yang menjebakkan dirinya sehingga berada di dalam kumpulan yang menjejak sebuah bandar emas yang telah hilang. Tiba-tiba, di pintu masuk ke the Lost City of Gold tersebut, Helen terjatuh ke dalam lubang yang dalam yang sebenarnya adalah pintu masuk ke the Lost City.

Bila terjatuh, dia menjerit kuat sebelum tiba-tiba dia terdiam. Sebenarnya dia bernasib baik kerana lubang dalam itu dipenuhi dengan daun dan sampah sarap yang menyebabkan dia tidak cedera. Ketika sampai ke dasar, dia menjerit kuat dan kemudiannya terus diam, lalu bangun dan membersihkan dirinya daripada sampah yang melekat pada tubuhnya.
Allan yang berada bersama seorang Negro amat panik dan risau dengan apa yang berlaku ke atas Helen. Mereka berpandangan dan terdiam sebentar. Setelah menunggu buat seketika dan mereka tidak mendengar apa-apa suara dari Helen, Allan menjerit kuat, “Helen, are you allright down there?”

Sebaik mendengar suara Allan sayup-sayup dari atas tetapi amat jelas di telinganya, Hellen membentak marah dan melaung dengan kuat, “Course I am not allright down here. What do you thing I am doing down here huh?”

Allan dan si Negro berpandangan, dan Allan terus tersenyum sambil berkata kepada si Negro, “Means, she’s all right”.

Perkataan yang mencuri hati penontoh sehinggakan mereka ketawa tiga kali mengikuti scene ini ialah perkataan ‘down here’, dikuatkan lagi humornya dengan latar belakang mengenai watak-watak yang telah dibina sejak awal cerita.

Sekiranya Allan sekadar menyebut, “Helen, are you allright?”, sudah pasti ia tidak mencuit hati. Begitu juga sekiranya Helen hanya sekadar menjawab, “Okay, I am allright”, tidak ada sesiapa pun akan ketawa. Ia juga tidak akan membolehkan ucapan Allan menghasilkan deraian ketawa yang ketiga bila dia tersenyum kepada si Negro dan berkata, “Means she allright”.

Cuba kita gunakan dialog di dalam bahasa Melayu bagi melakonkan babak-babak tadi.

Setelah Helen terjatuh, Allan menjerit kuat, “Helen, adakah awak berada di dalam keadaan baik di bawah sana?” . Helen pun menjawab, “Sudah tentulah saya tidak berada di dalam keadaan yang baik di bawah ini. Apakah yang awak fikirkan tentang apa saya sedang lakukan di bawah ini, hah?”. Lalu Allan tersenyum kepada Negro dan berkata, “Bererti yang dia berada di dalam keadaan baik”.

Sudah tentu dialog ini tidak akan menghasilkan kesan humor sama sekali, malah membosankan. Ini kerana, intelelektual audien akan bertanya, apakah dalam suasana cemas seperti itu mereka mempunyai masa untuk mengucap dialog sepanjang itu? Lalu dialog yang diungkapkan itu akan dianggap mengada-ada, tidak berpijak di bumi kenyataan dan tidak mungkin dapat diucapkan dalam keadaan cemas seperti itu. (Jumlah keseluruhan dialog yang dibentang di atas ialah 27 suku kata di dalam bahasa Inggeris dan padanannya di dalam bahasa Malaysia ialah 91 suku kata).

Satu pilihan lagi bagi mengungkapkan peristiwa di atas ialah dengan menggunakan ungkapan yang pendek, misalnya, “Helen, awak tak apa-apakah di bawah sana?”. Lalu jawab Helen, “Awak ingat saya buat apa di bawah sini, hah?” Lalu sambil tersenyum, Allan berkata kepada si Negro, “Syukur.” (32 suku kata). Sudah tentulah dialog sebegini tidak akan melahirkan kesan humor sama seperti kesan yang dilahirkan oleh ungkapan dialog di dalam bahasa Inggeris, kerana kekurangan mesej.

Sesuatu yang mesti diingat ialah, untuk menghasilkan lawak yang intelektual, di samping plot yang kemas dan latar belakang yang mencukupi untuk menghasilkan rentetan beberapa peristiwa, dialog yang diucapkan mestilah “short and sharp. Oleh kerana perkataan Melayu panjang-panjang sebutannya, persamaannya ialah ia tidak short dan bila ia tidak short, ia tidak akan sharp. Sebab itu jangan disalahkan sutradara dan pelakon filem-filem Melayu bila lawak mereka slapstik dan tidak menjadi kerana perkataan yang panjang menghasilkan handicap untuk mereka melakukan sebaik yang dilakukan oleh sutradara dan pelakon-pelakon dalam filem-filem dalam bahasa-bahasa yang perkataannya adalah pendek-pendek.

Inilah antara sebab yang amat meyakinkan saya bahawa, demi kemajuan bangsa dan bahasa kita yang tercinta, perkataan kita mesti dijadikan semakin pendek dan bukannya semakin panjang. Di dalam matematik, kebenaran cadangan ini telah dibuktikan secara konkrit menerusi kaedah Mokhdar.

No comments: