Thursday, January 31, 2008

Perkataan lebih panjang - emosi lebih tinggi

Individu yang mempunyai emosi yang lebih tinggi lebih cepat marah, lebih cepat meninggikan suara dan lebih cepat berputus asa. Jika dia belajar dan dia merasa apa yang dia pelajari itu adalah susah dan tidak dapat difahaminya walau dicubanya berkali-kali, dia akan berhenti mencuba dan terus menganggap apa yang dipelajari itu memang tidak boleh difahami. Jika dia mencuba sesuatu business venture dan dia mengalami kegagalan, dia terus berputus asa dan menghentikan segala apa yang telah dilakukannya dan mengalami kerugian yang tidak dapat ditebus kerana menghabiskan banyak modal untuk overhead bagi venture yang telah dimulakannya.

Daripada pengamatan terhadap kaum-kaum di Malaysia, didapati bahawa orang India adalah orang yang paling emosional, diikuti dengan orang Melayu dan orang Cina adalah orang yang paling cool. Seorang peniaga telah menggantung diri di sebuah kompleks membeli belah di Seremban pada tahun 2003 kerana tidak tahan dengan hutang yang ditanggung - cuma sekitar RM30000. Seorang peniaga Cina menggantung diri setelah menggantung isteri dan anak-anak kecilnya kerana tidak tahan menanggung hutang - sekitar 50 juta ringgit!

Semasa bertugas sebagai Majistret Kanan Teluk Intan (1989 hingga 1993), saya dapati bahawa 90% insan yang membunuh diri dari kalangan orang yang waras fikiran ialah orang India, diikuti oleh orang Cina. Bagi kebanyakan kes bunuh diri di kalangan orang India tersebut adalah disebabkan oleh sebab yang amat remeh, antaranya, di marahi emak, bapa atau ahli keluarga yang lain, mencapai keputusan peperiksaan yang walaupun tidak gagal tetapi tidak mengatasi keputusan yang telah dicatat oleh kakaknya, putus cinta atau ditinggalkan kekasih walaupun di dalam alam cinta monyet, jauh hati kerana merasakan yang diri tidak dipedulikan, dan sebagainya. Biasanya kejadian bunuh diri yang melibatkan orang Cina yang waras adalah disebabkan oleh masalah yang lebih kompleks, seperti tidak tertahan menanggung hutang yang semakin menimbun, atau menanggung derita dan malu yang tidak tertanggung kerana isteri atau suami bermain kayu tiga, dan sebagainya.

Di samping faktor agama dan kepercayaan (faktor anutan agama Islam adalah faktor yang menyebabkan kurangnya kejadian membunuh diri di kalangan orang Melayu di Malaysia), tentulah ada faktor lain yang menyebabkan kenapa emosi orang-orang tertentu adalah lebih tinggi daripada orang-orang lain sehinggakan kejadian bunuh diri banyak berlaku di dalam masyarakat mereka. Harus diingat bahawa, walaupun kejadian bunuh diri tidak begitu berlaku di kalangan orang-orang Melayu yang waras, namun emosi mereka dilepaskan dengan cara lain seperti melatah, berhasad dengki, bermasam muka, mengumpat dan sebagainya. Melatah, hasad dengaki, bermasam muka dan mengumpat ini bagaikan menjadi suatu penawar untuk mengurangkan tekanan perasaan orang-orang Melayu sehinggakan ia dapat mengurangkan kejadian bunuh diri di kalangan mereka.

Apa kaitan perkataan yang panjang dengan emosi yang tinggi sehingga melahirkan fenomena bunuh diri, melatah, mengamuk dan sebagainya?

Bila perkataan yang digunakan di dalam suatu komunikasi adalah panjang, orang yang berkomunikasi ini mengambil masa yang lebih lama untuk meluahkan pendapat atau perasaannya. Sewaktu berbahas atau bertengkar, biasanya setiap orang tidak bersabar mahu meluahkan kata-katanya. Disebabkan oleh perkataan-perkataan yang panjang sebutannya, masa yang lama terpaksa di ambil untuk menuturkan perkataan-perkataan yang mahu diungkapkan. Ini menghasilkan beberapa keadaan :

  1. Semakin panjang ucapan yang diucap ketika berbahas atau bertengkar, semakin tinggilah emosi penuturnya.
  2. Oleh kerana perkataan yang diucap panjang-panjang, pihak yang mendengar dan menunggu giliran untuk bercakap merasa cepat jemu, tidak sabar mahu bercakap dan jika dia tidak agresif, dia mungkin hilang tumpuan terhadap apa yang diucap oleh lawannya. Oleh itu orang yang sedang bercakap terpaksa meninggikan suara, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, untuk terus menarik perhatian orang yang dilawannya berbahas.
  3. Oleh kerana tidak sabar mahu meluahkan kata-katanya, pihak yang satu lagi, jika agresif, akan mengambil tindakan yang sama iaitu meninggikan suaranya untuk mengatasi suara lawannya. Semakin lama keadaan jadi semakin tidak terkawal dan tindakan atau perkataan yang lebih agresif seperti menggunakan kekerasan fizikal atau menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya diucap (seperti mencarut, menghina atau menzahirkan perkataan seperti, 'kita putus saudara', 'engkau bukan adik aku lagi', 'aku tidak halalkan makan minum engkau', 'engkau memang macam syaitan', 'engkau memang iblis', 'engkau anak haram', dan sebagainya.
  4. Satu atau kedua-dua pihak mungkin mengambil tindakan tidak bertegur sapa selepas itu, atau merasai perasaan benci yang tidak dapat digambarkan, tidak peduli antara satu sama lain, tidak mahu berkomuniksi, dan sebagainya.

Sebab itu, dalam masyarakat yang perkataannya panjang-panjang, sekiranya seseorang ingin mengelak daripada terlibat di dalam pertikaian dengan anggota keluarga, rakan-rakannya, majikan atau pekerjanya, dan lain-lain, dia mengambil sikap berdiam diri atau menyimpan perasaannya di dalam dirinya untuk mengelak pertikaian atau pertengkaran yang lebih besar dengan anggota keluarga, rakan, majikan atau pekerjanya. Ini sedikit sebanyaknya menghasilkan pula komplikasi lain :

  1. Dia memendam perasaannya sehinga akhirnya dia tidak dapat lagi menahan perasaan itu dan akibatnya, dia meledakkan perasaannya sepuas hatinya dan hasilnya, berlaku perpecahan yang lebih besar dengan anggota keluarga, rakan, majikan, pekerja atau lain-lain. Dalam kes yang lebih extreme, dia mengambil tindakan merajuk, meninggalkan rumah, cuba membunuh diri atau membunuh diri bagi menggambarkan rasa terkilan atau marahnya yang keterlaluan.
  2. Ibu-ibu tua yang sering terkilan dengan sikap anak-anaknya yang tidak mempedulikannya mengelak daripada menyuarakan rasa hatinya kerana takut mekukakan hati anak dan menantu, atau berlaku pertengkaran dengan anak-anak menantu. Oleh kerana perbuatan anak menantu,dan cucu-cucu, semakin lama semakin menekan perasaannya, namun dia tidak berkuasa mahu menegur mereka secukupnya, dia menyimpan segala perasaannya di dalam dadanya. Oleh kerana sentiasa tertekan dengan perasaannya, dia semakin menjadi pelupa dan kadang-kadang tidak sedar apa yang dilakukannya. Dalam keadaan ini, bila dia terkejut, dia mulai melakukan tindakan-tindakan di luar daripada kawalannya, dimulakan, misalnya, dengan reaksi terkejut. Namun 'perbuatan' terkejut itu menjadi bahan tawa dan seterusnya, menjadi bahan hiburan anak, menantu dan cucunya. Dari situ dia mendapati yang dia mulai diberi perhatian oleh anak, menantu dan cucu dan dia meng'agresif'kan lagi reaksi tersebut, misalnya dengan menguatkan lagi 'jeritan terkejut'nya atau dengan melebih-lebihkan lagi reaksi latahnya. Bukan sahaja anak, menantu dan cucu-cucunya makin terhibur dengan telatah nenek mereka, tetapi dia sendiri semakin terhibur dengan telatahnya dan reaksi anak, menantu dan cucunya terhadap telatahnya. Akhirnya reaksi ini menjadi tabiat yang tidak dapat dikawal lagi dan akhirnya jadilah dia seorang pelatah. Mungkin ini juga yang menerangkan kenapa orang lelaki kurang mengalami sindrom latah ini lantaran mereka lebih mudah meluahkan perasaan dengan cara yang melukakan hati anak, menantu dan cucu mereka (seperti marah dan sebagainya) oleh itu perasaan terkilan tidak terpendam di dalam jiwa mereka sehingga akhirnya ia diledakkan dalam bentuk lain. Sebab itu jugalah wanita yang kuat berleter tidak begitu mempamirkan sindrom latah ini.

No comments: