Thursday, January 31, 2008

Perkataan lebih panjang - emosi lebih tinggi

Individu yang mempunyai emosi yang lebih tinggi lebih cepat marah, lebih cepat meninggikan suara dan lebih cepat berputus asa. Jika dia belajar dan dia merasa apa yang dia pelajari itu adalah susah dan tidak dapat difahaminya walau dicubanya berkali-kali, dia akan berhenti mencuba dan terus menganggap apa yang dipelajari itu memang tidak boleh difahami. Jika dia mencuba sesuatu business venture dan dia mengalami kegagalan, dia terus berputus asa dan menghentikan segala apa yang telah dilakukannya dan mengalami kerugian yang tidak dapat ditebus kerana menghabiskan banyak modal untuk overhead bagi venture yang telah dimulakannya.

Daripada pengamatan terhadap kaum-kaum di Malaysia, didapati bahawa orang India adalah orang yang paling emosional, diikuti dengan orang Melayu dan orang Cina adalah orang yang paling cool. Seorang peniaga telah menggantung diri di sebuah kompleks membeli belah di Seremban pada tahun 2003 kerana tidak tahan dengan hutang yang ditanggung - cuma sekitar RM30000. Seorang peniaga Cina menggantung diri setelah menggantung isteri dan anak-anak kecilnya kerana tidak tahan menanggung hutang - sekitar 50 juta ringgit!

Semasa bertugas sebagai Majistret Kanan Teluk Intan (1989 hingga 1993), saya dapati bahawa 90% insan yang membunuh diri dari kalangan orang yang waras fikiran ialah orang India, diikuti oleh orang Cina. Bagi kebanyakan kes bunuh diri di kalangan orang India tersebut adalah disebabkan oleh sebab yang amat remeh, antaranya, di marahi emak, bapa atau ahli keluarga yang lain, mencapai keputusan peperiksaan yang walaupun tidak gagal tetapi tidak mengatasi keputusan yang telah dicatat oleh kakaknya, putus cinta atau ditinggalkan kekasih walaupun di dalam alam cinta monyet, jauh hati kerana merasakan yang diri tidak dipedulikan, dan sebagainya. Biasanya kejadian bunuh diri yang melibatkan orang Cina yang waras adalah disebabkan oleh masalah yang lebih kompleks, seperti tidak tertahan menanggung hutang yang semakin menimbun, atau menanggung derita dan malu yang tidak tertanggung kerana isteri atau suami bermain kayu tiga, dan sebagainya.

Di samping faktor agama dan kepercayaan (faktor anutan agama Islam adalah faktor yang menyebabkan kurangnya kejadian membunuh diri di kalangan orang Melayu di Malaysia), tentulah ada faktor lain yang menyebabkan kenapa emosi orang-orang tertentu adalah lebih tinggi daripada orang-orang lain sehinggakan kejadian bunuh diri banyak berlaku di dalam masyarakat mereka. Harus diingat bahawa, walaupun kejadian bunuh diri tidak begitu berlaku di kalangan orang-orang Melayu yang waras, namun emosi mereka dilepaskan dengan cara lain seperti melatah, berhasad dengki, bermasam muka, mengumpat dan sebagainya. Melatah, hasad dengaki, bermasam muka dan mengumpat ini bagaikan menjadi suatu penawar untuk mengurangkan tekanan perasaan orang-orang Melayu sehinggakan ia dapat mengurangkan kejadian bunuh diri di kalangan mereka.

Apa kaitan perkataan yang panjang dengan emosi yang tinggi sehingga melahirkan fenomena bunuh diri, melatah, mengamuk dan sebagainya?

Bila perkataan yang digunakan di dalam suatu komunikasi adalah panjang, orang yang berkomunikasi ini mengambil masa yang lebih lama untuk meluahkan pendapat atau perasaannya. Sewaktu berbahas atau bertengkar, biasanya setiap orang tidak bersabar mahu meluahkan kata-katanya. Disebabkan oleh perkataan-perkataan yang panjang sebutannya, masa yang lama terpaksa di ambil untuk menuturkan perkataan-perkataan yang mahu diungkapkan. Ini menghasilkan beberapa keadaan :

  1. Semakin panjang ucapan yang diucap ketika berbahas atau bertengkar, semakin tinggilah emosi penuturnya.
  2. Oleh kerana perkataan yang diucap panjang-panjang, pihak yang mendengar dan menunggu giliran untuk bercakap merasa cepat jemu, tidak sabar mahu bercakap dan jika dia tidak agresif, dia mungkin hilang tumpuan terhadap apa yang diucap oleh lawannya. Oleh itu orang yang sedang bercakap terpaksa meninggikan suara, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, untuk terus menarik perhatian orang yang dilawannya berbahas.
  3. Oleh kerana tidak sabar mahu meluahkan kata-katanya, pihak yang satu lagi, jika agresif, akan mengambil tindakan yang sama iaitu meninggikan suaranya untuk mengatasi suara lawannya. Semakin lama keadaan jadi semakin tidak terkawal dan tindakan atau perkataan yang lebih agresif seperti menggunakan kekerasan fizikal atau menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya diucap (seperti mencarut, menghina atau menzahirkan perkataan seperti, 'kita putus saudara', 'engkau bukan adik aku lagi', 'aku tidak halalkan makan minum engkau', 'engkau memang macam syaitan', 'engkau memang iblis', 'engkau anak haram', dan sebagainya.
  4. Satu atau kedua-dua pihak mungkin mengambil tindakan tidak bertegur sapa selepas itu, atau merasai perasaan benci yang tidak dapat digambarkan, tidak peduli antara satu sama lain, tidak mahu berkomuniksi, dan sebagainya.

Sebab itu, dalam masyarakat yang perkataannya panjang-panjang, sekiranya seseorang ingin mengelak daripada terlibat di dalam pertikaian dengan anggota keluarga, rakan-rakannya, majikan atau pekerjanya, dan lain-lain, dia mengambil sikap berdiam diri atau menyimpan perasaannya di dalam dirinya untuk mengelak pertikaian atau pertengkaran yang lebih besar dengan anggota keluarga, rakan, majikan atau pekerjanya. Ini sedikit sebanyaknya menghasilkan pula komplikasi lain :

  1. Dia memendam perasaannya sehinga akhirnya dia tidak dapat lagi menahan perasaan itu dan akibatnya, dia meledakkan perasaannya sepuas hatinya dan hasilnya, berlaku perpecahan yang lebih besar dengan anggota keluarga, rakan, majikan, pekerja atau lain-lain. Dalam kes yang lebih extreme, dia mengambil tindakan merajuk, meninggalkan rumah, cuba membunuh diri atau membunuh diri bagi menggambarkan rasa terkilan atau marahnya yang keterlaluan.
  2. Ibu-ibu tua yang sering terkilan dengan sikap anak-anaknya yang tidak mempedulikannya mengelak daripada menyuarakan rasa hatinya kerana takut mekukakan hati anak dan menantu, atau berlaku pertengkaran dengan anak-anak menantu. Oleh kerana perbuatan anak menantu,dan cucu-cucu, semakin lama semakin menekan perasaannya, namun dia tidak berkuasa mahu menegur mereka secukupnya, dia menyimpan segala perasaannya di dalam dadanya. Oleh kerana sentiasa tertekan dengan perasaannya, dia semakin menjadi pelupa dan kadang-kadang tidak sedar apa yang dilakukannya. Dalam keadaan ini, bila dia terkejut, dia mulai melakukan tindakan-tindakan di luar daripada kawalannya, dimulakan, misalnya, dengan reaksi terkejut. Namun 'perbuatan' terkejut itu menjadi bahan tawa dan seterusnya, menjadi bahan hiburan anak, menantu dan cucunya. Dari situ dia mendapati yang dia mulai diberi perhatian oleh anak, menantu dan cucu dan dia meng'agresif'kan lagi reaksi tersebut, misalnya dengan menguatkan lagi 'jeritan terkejut'nya atau dengan melebih-lebihkan lagi reaksi latahnya. Bukan sahaja anak, menantu dan cucu-cucunya makin terhibur dengan telatah nenek mereka, tetapi dia sendiri semakin terhibur dengan telatahnya dan reaksi anak, menantu dan cucunya terhadap telatahnya. Akhirnya reaksi ini menjadi tabiat yang tidak dapat dikawal lagi dan akhirnya jadilah dia seorang pelatah. Mungkin ini juga yang menerangkan kenapa orang lelaki kurang mengalami sindrom latah ini lantaran mereka lebih mudah meluahkan perasaan dengan cara yang melukakan hati anak, menantu dan cucu mereka (seperti marah dan sebagainya) oleh itu perasaan terkilan tidak terpendam di dalam jiwa mereka sehingga akhirnya ia diledakkan dalam bentuk lain. Sebab itu jugalah wanita yang kuat berleter tidak begitu mempamirkan sindrom latah ini.

Wednesday, January 30, 2008

Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi

Di dalam buku Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi (RBBR) - yang diterbitkan pada awal tahun 1990 dan beberapa bulan sebelumnya diterbitkan di bawah tajuk 'Bahasa dan Tamadun Bangsa' (1989), saya memberi perspektif baru tentang kenapa orang-orang Melayu gagal bersaing dengan orang-orang lain, khususnya orang-orang Cina, dalam berbagai bidang.

Jika orang-orang lain, termasuk para pemimpin dan inteleks, melihat bahawa orang-orang Melayu gagal bersaing disebabkan oleh sikap, genetik, pemakanan (lalu Kerajaan menjalankan program membekalkan susu dan makanan berkhasiat - yang tidak berkhasiat - kepada pelajar sekolah), manja, suka memilih yang mudah, tidak gemar bersaing, polisi penjajah, ibu bapa yang tidak insaf, guru yang tidak bermotivasi, dan sebagainya, bagi saya semua ini adalah faktor secondary yang bertitik-tolak dari faktor yang lebih penting : bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengaturcara minda serta untuk berkomunikasi sama ada komunikasi dalaman atau komunikasi dengan pihak lain.

Saya melihat faktor kepanjangan perkataan di dalam bahasa yang menjadi medium berfikir dan berkomunikasi sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kekalahan di dalam persaingan. Sebagai hujah permulaan, tidakkah bila ungkapan 'wa ai ni' (Mandarin - 3 suku kata) = I love you (English - tiga suku kata) = Aku nak hang (bahasa Melayu dialek utara - 4 suku kata) = Aku cinta kepadamu (Bahasa Melayu - 8 suku kata) dan Na'i kutta katte kalik kerren (Tamil - 10 suku kata) memberi implikasi yang amat signifikan terhadap pengurusan masa seseorang? Katakan bercakap di telefon, ungkapan yang menggunakan tiga suku kata memerlukan kos tiga unit, ungkapan yang menggunakan empat suku kata pula memerlukan kos empat unit, seterusnya ungkapan yang menggunakan lapan suku kata memerlukan kos lapan unit dan ungkapan yang memerlukan sepuluh suku kata memerlukan kos sepuluh unit.

Di terjemahkan semua kos ini kepada kos perbualan telefon, kos menaip, kos dakwat, kos mesyuarat, kos upah pekerja dan sebagainya, ini bererti aktiviti yang digunakan menggunakan medium bahasa yang panjang perkataannya menyebabkan lebihan kos yang bila dikumpulkan dalam nisbah bahasa-bahasa di atas iaitu Mandarin : English : BM dialek utara : BM : Tamil, ia menjadi 3:3:4:8:10. Jika kos ini merupakan kos perbualan telefon dan setiap unit kos menggunakan 10 sen, ini bererti nisbah kosnya ialah 30 : 30 : 40 : 80 : 100 sen. Dihimpunkan satu juta pengguna telefon dari kalangan yang berbahasa Mandarin : English : BM dialek utara : BM : Tamil, ia menjadi RM30000 : RM30000: RM40000: RM80000: RM100000.

Kandungan di dalam buku tersebut bukan sekadar berkisar di sekitar aspek-aspek ekonomi, tetapi juga aspek-aspek lain, misalnya, kenapa emosi orang yang bahasa ibunda dan bahasa pemikirannya adalah bahasa yang mempunyai perkataan yang panjang-panjang adalah lebih tinggi daripada orang-orang yang bahasa ibunda dan bahasa pemikirannya terdiri daripada bahasa yang pendek-pendek akan sebutan perkataannya. Jawapannya ialah, perkataan yang panjang menyebabkan luahan perasaan menggunakan perkataan adalah lebih sukar dan memakan masa lebih lama, oleh itu penutur biasanya memilih jalan pintas dengan meninggikan suaranya atau memerahkan mukanya, atau kedua-duanya sekali, untuk meluahkan perasaannya.

Anda tidak perlulah membaca buku yang telah dicetak dan dijual lebih daripada 8000 naskah tersebut kerana apa yang dibicarakan di dalam blog ini telah memaparkan secukupnya apa yang telah dibicarakan di dalam buku tersebut. Sementelahan pula buku tersebut ditulis pada 1986 - dan perkembangan selama lebih dua puluh tahun, terutamanya perkembangan pesat dunia IT, kian hari kian mengukuhkan lagi apa yang telah saya suarakan di dalam buku tersebut dan ia akan dibicarakan di dalam blog ini. Semakin dunia IT berkembang maju, semakin tampak jelas bahawa cara minda dan tubuh manusia beroperasi adalah benar-benar sama dengan cara sesuatu jaringan komputer dan software bekerja. Hanya jumlah komputer dan software yang bersemadi di dalam sistem tubuh manusia adalah terlalu banyak dan tentulah tidak dapat disaing oleh mana-mana komputer ciptaan manusia. Hal ini juga dibicarakan di dalam blog ini.

Fakta yang dibincang secara terperinci di dalam blog ini akan terus dikemaskini dan pembaca dialu-alukan untuk memberi respons, maklumat dan kritikan berguna agar blog ini akan dapat menyumbangkan sesuatu yang berfaedah untuk kemajuan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaysia yang semakin lama semakin perlu memberi ruang yang lebih adil kepada semua kaum dan semua golongan masyarakat untuk menikmati kekayaannya dalam persaingan yang lebih adil. Sekiranya orang-orang Melayu terus memerlukan tongkat untuk terus berdiri, kita akan mudah jatuh walaupun atas sebab yang amat ringan. Kita tidak sepatutnya lagi hidup menggunakan tongkat, kerana orang yang terpaksa berdiri dengan menggunakan tongkat adalah orang yang lemah dan tidak mungkin dapat bersaing dengan orang lain yang dapat berdiri gagah tanpa apa-apa bantuan. Namun selagi sebab sebenar yang menyebabkan mereka gagal bersaing tidak diberi perhatian, sama ada ia tidak diketahui atau kewujudannya terselindung oleh sentimen atau ego yang tidak membawa orang Melayu ke mana-mana, bangsa Melayu akan terpaksa terus hidup menggunakan tongkat.

Di dalam blog ini, saya akan cuba menghuraikan dengan panjang lebar tentang fakta-fakta yang telah saya sentuh di dalam RBBR, fakta-fakta yang kemudiannya telah melahirkan Kaedah Mokhdar sebagai suatu wadah untuk menyelesaikan masalah kegagalan orang-orang Melayu di dalam persaingan mengejar kemajuan dalam bidang matematik, sains dan teknologi. Sebagai jalan keluar bagi mengatasi masalah orang Melayu di dalam persaingan kehidupan, saya telah mencadangkan di dalam RBBR yang diterbitkan pada tahun 1989/1990 itu supaya, "demi kemajuan bangsa Melayu dan bahasa Melayu yang tercinta, perkataan Melayu hendaklah dijadikan makin lama makin pendek dan bukannya makin panjang. Sementara bahasa Melayu menjadi antara bahasa yang paling maju di dunia, jika tidak pun yang paling maju, penguasaan bahasa Inggeris hendaklah diperkasakan semula di kalangan anggota masyarakat.

Bagi mengatasi masalah kelemahan pelajar Melayu dalam bidang matematik - tunjang kepada subjek sains dan teknologi, saya telah mencadangkan supaya subjek-subjek matematik diajar dalam bahasa Inggeris kerana sebutan angka, simbol, ungkapan dan ayat matematik di dalam bahasa Inggeris adalah lebih pendek dan padat dengan demikian pengurusan input-input mathematical (sama ada untuk dihafal, diproses, diolah, ditulis atau sebagainya) akan jadi jauh lebih mudah bagi pelajar Melayu (setelah mengalami kegagalan meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak saya dengan cara mencuba menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pemikiran mathematical mereka, gagal disebabkan oleh faktor environment bahasa di mana bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa budaya di dalam keluarga saya dan di dalam masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi setelah penemuan kaedah Mokhdar, saya mendapati bahawa jika cadangan tersebut dilaksanakan, ia akan menghasilkan keadaan di mana yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.

Sebab itu pada tahun 2001, ketika Kerajaan mengumumkan dasar untuk melaksanakan pembelajaran matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris, saya menulis surat kepada YAB Perdana Menteri (Dato' Seri Dr.Mahathir bin Mohammad) meminta supaya Kerajaan tidak meneruskan dasar tersebut. Orang-orang Melayu yang tidak hidup di dalam environment bahasa Inggeris akan mengalami kesulitan berganda di dalam memahami dan menyelesaikan masalah-masalah di dalam pembelajaran matematik dan sains, takut nanti, sebagaimana yang telah saya alami ketika memaksa anak-anak saya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa minda untuk pemikiran mathematical mereka dulu, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Pelajar SRJK Tamil yang dulunya menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium hafalan sifir mereka (mereka tidak mampu melakukannya di dalam bahasa Tamil kerana terlalu panjang) akan menggunakan bahasa Inggeris dan bagi kebanyakan orang India, penggunaan bahasa Inggeris tidak menjadi masalah bagi mereka. Di negara India sekalipun, selain bahasa Hindi, bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi negara itu dan kebanyakan orang India di Malaysia, termasuk yang tinggal di estet, menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah. Environment bahasa Inggeris adalah lebih dekat di kalangan orang India dibanding dengan orang Melayu, terutamanya orang Melayu yang tinggal di luar bandar. Di dalam surat tersebut, saya mencadangkan supaya, jika Kerajaan mahu terus melaksanakan polisi mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya akan diikuti dengan sistem pembelajaran bagi semua subjek, kecuali bahasa Malaysia dan Pengetahuan Agama Islam, di dalam bahasa tersebut, saya mencadangkan kepada Perdana Menteri agar menulis surat kepada semua Nazir masjid supaya mengarahkan tuan-tuan khatib membaca khutbah Jumaat di dalam bahasa Inggeris.

Namun surat saya tidak diberi perhatian sama sekali, sekurang-kurangnya, Perdana Menteri tidak pernah membalas walau satu pun surat saya walaupun menurut apa yang diberitahu kepada saya oleh En.Zainuddin Mydin, Ketua Pengarang Utusan Malaysia ketika itu (1992), Y.A.B. Perdana Menteri Dato' Seri Dr.Mahathir membaca sendiri semua surat yang dihantar kepada beliau. Mungkin kerana sasaran Kerajaan dalam e-TEM bukanlah mahu memperkasakan penguasaan subjek matematik dan sains di kalangan pelajar, tetapi lebih kepada untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di sebabkan oleh kepentingan penguasaan bahasa Inggeris di dalam zaman globalisasi ini.

Bagi saya, jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi sasaran, sepatutnya, atas sebab strategik, Agama Islam yang sepatutnya diajar di dalam bahasa Inggeris. Ini bukan sahaja kerana lebih kurang 99% buku, makalah dan sumber ilmu mengenai agama Islam ditulis dalam bahasa Inggeris, mengatasi jumlah bahan di dalam bahasa Arab sendiri, apa lagi bahasa Melayu, tetapi juga kerana, penggunaan perkataan bahasa Inggeris di dalam amalan hidup seseorang Muslim adalah jauh lebih banyak daripada apa yang digunakan di dalam pembelajaran matematik. Penggunaan dan pendedahan yang lebih banyak ini menghasilkan kekuatan yang lebih baik bagi seseorang di dalam penguasaan bahasa Inggeris dibanding dengan apa yang dapat didedahkan dan digunakan di dalam pembelajaran matematik.

Ini juga akan dibicarakan secara panjang lebar di dalam blog ini.

Pembaca blog ini tidak dihalang daripada mencetak dan mengedarkan kandungan blog ini untuk diedarkan kepada rakan-rakan, dengan syarat ia tidak dicetak secara komersial kerana ini bukan sahaja mencabul hak intelektual saya sebagai pemilik blog ini, tetapi juga menyentuh hati dan perasaan saya sebagai seorang insan yang menulis dan memerlukan banyak modal dan pengorbanan untuk mengetengahkan segala hasil pemikiran saya. Saya akan berusaha untuk membukukan segala bahan yang terdapat di dalam blog ini agar ia lebih mudah dibaca oleh masyarakat umum terutama kalangan yang jauh dari era IT, di samping menjadikannya sebagai bahan souveneir yang mudah dihadiahkan kepada setiap orang yang disayang atau dihargai.