Tuesday, February 19, 2008

Kenapa perkataan bahasa Melayu panjang-panjang?

Link berkaitan :
http://more-dear.com/ (Untuk menghantar anak/jagaan/pelajar/diri mengikuti bengkel-bengkel mengasah minda matematik dan sains menerusi kaedah Mokhdar) http://www.kelabdarians.blogspot.com/ (Senarai & catatan individu yang berhijrah jadi lebih baik / mencatat kejayaan cemerlang setelah amalkan kaedah Mokhdar) http://mokhtarhjmansor.blogspot.com/ (Kisah suka duka Mokhtar Hj Mansor memperjuangkan penemuan beliau kerana melihat bukti yang amat jelas bahawa penemuan ini, sekiranya natijahnya dilaksanakan, akan meletakkan bangsa dan negara menjadi antara bangsa dan negara paling maju jika tidak pun yang paling maju). http://www.revolusibahasa.blogspot.com/ (kaitan di antara sebutan perkataan yang panjang dengan kelambatan Melayu dalam pelbagai perkara) http://www.revolusiniaga.blogspot.com/ (berbicara tentang kaitan di antara perkataan yang panjang dengan kegagalan Melayu dalam perniagaan) http://www.fihrasat.blogspot.com/ (menceritakan pengalaman-pengalaman Mokhtar bermain dengan angka di dalam kaedah Mokhdar). e-mail : mokhtarhjmansor@gmail.com atau mokhtar@more-dear.com Alamat pejabat : No 23 & 25 (Gr to 2nd Floor), Jln Pusat BCH 1/3, Bandar Country Homes, 48000 Rawang. Tel : 03-60935815; 019-2605162; 017-6521730. "DEMI KEMAJUAN BANGSA DAN BAHASA MELAYU YANG TERCINTA, BAHASA MELAYU HENDAKLAH DIJADIKAN SEMAKIN PADAT DAN BUKANNYA SEMAKIN LOMPONG. INI BERERTI, UNGKAPAN DI DALAM BAHASA MELAYU HENDAKLAH JADI SEMAKIN PADAT DAN PERKATAAN DI DALAM BAHASA MELAYU HENDAKLAH JADI SEMAKIN PENDEK DAN BUKANNYA MAKIN PANJANG"
Jika melawat http://id.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu, pembaca mesti tertarik dengan catatan berikut :

Dialek Pahang - Pahang kaya dengan pelbagai jenis dialek daerah yang dituturkan di daerah-daerah di mana Sungai Pahang mengalir:- Hulu Sungai Pahang : Dialek Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub (dituturkan dengan cepat dari segi kelajuan percakapan). Pertengahan Sungai Pahang : Dialek Temerloh (dituturkan secara sederhana dari segi kelajuan percakapan). Hilir Sungai Pahang : Dialek Chenor dan Pekan (dituturkan dengan perlahan dari segi kelajuan percakapan).

Mungkin catatan di atas atas sepatutnya ditulis seperti berikut : "Pelbagai jenis dialek daerah yang ditutur di Pahang mempunyai kaitan yang amat rapat dengan laju perlahan air yang mengalir. Dialek Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub dituturkan dengan cepat dari segi kelajuan percakapan. Dialek Temerloh yang terletak di tengah antara hulu dan hilir Sungai Pahang ditutur secara sederhana dari segi kelajuan percakapan. Dialek Chenor dan Pekan yang terletak di hilir Sungai Pahang dituturkan dengan perlahan dari segi kelajuan percakapan".
Bagi memberi gambaran tentang gaya pertuturan menurut dialek di tiga tempat di Pahang tersebut, berikut ialah contoh gaya sebutan bagi perkataan kucing. Orang-orang Jerantut menyebut 'kucing' dengan sebutan seakan-akan 'kcing' - di mana vokal 'u' tidak jelas sama sekali. Orang-orang di Temerloh menyebutnya sebagai 'kuciang' manakala orang-orang di Pekan pula menyebutnya sebagai 'kuciaangg'.

Catatan di Wikipedia tidak menerangkan menyatakan kenapa dialek bahasa-bahasa di Pahang amat dipengaruhi oleh kelajuan air mengalir.
Pada tahun 1994, seorang guru besar memberitahu saya tentang satu kajian yang dibuat oleh seorang mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) tentang dialek bahasa di Pahang. Saya gagal mengesan manuskrip yang disebut oleh guru besar tersebut, bagaimanapun, teks tersebut melaporkan tentang dialek bahasa di Pahang yang sememangnya dipengaruhi oleh laju atau perlahan arus air di tempat dialek berkenaan di tutur - lebih laju arus air, lebih lajulah gaya pertuturan di dalam dialek berkenaan. Apa yang diberitahu oleh guru besar tersebut saya umumkan di Radio Satu dalam siri temuramah dengan saya mengenai kaedah Mokhdar yang berjalan selama beberapa bulan, dan saya memberi pandangan kenapa hal tersebut terjadi, sebagaimana yang saya nyatakan berikut.
Kenapa dialek-dialek bahasa di negeri Pahang begitu dipengaruhi oleh laju perlahan air mengalir? Jawapannya ialah, pendek atau panjang gaya pertuturan, banyak atau sedikit jumlah suku kata yang menjadi perkataan yang kerap digunakan di dalam sesuatu bahasa, semuanya bergantung kepada faktor survival di sesuatu tempat, kawasan, negara atau persekitaran di mana kelompok sesuatu masyarakat berada.

Di negeri Pahang, sebelum era modernisasi, atau di zaman pra-penjajahan British dulu, sebahagian besar daripada kehidupan penduduk amat bergantung kepada sungai. Sungailah yang menjadi sumber air bagi pengairan tanaman, sungailah yang menjadi antara tempat utama mencari mencari sumber protin, dan sungai jugalah yang menjadi satu-satunya jalan yang menghubungkan bandar atau penempatan-penempatan penting. Jalan air merupakan jalan yang paling 'pantas' dan selamat untuk berkunjung ke tempat-tempat lain. Sebab itu bandar-bandar penting tumbuh dan berkembang pesat di pinggir-pinggir sungai.
Berbeza dengan penggunaan perahu atau tongkang di laut, orang-orang yang berakit atau bersampan di sungai Pahang, sama ada dengan tujuan untuk menangkap ikan, menyeberang ke seberang atau bergerak dari satu ke satu tempat, terpaksa menggunakan tulang empat kerat sebagai tenaga untuk menggerakkan sampan atau rakit (di laut atau di sungai-sungai yang lebarnya bagai sebuah lautan - contohnya Sungai Amazon yang lebarnya lebih kurang 11 kilometer pada musim kering dan mencapai 45 kilometer pada musim hujan - layar boleh digunakan untuk menggerakkan perahu atau kapal).
Oleh kerana air di hulu lebih laju, orang-orang yang berada di dalam perahu atau rakit perlu bekerja keras dan bercakap pantas ketika berkayuh kerana jika bercakap lambat, koordinasi pergerakan pengayuh di tangan setiap pengayuh menjadi lebih lemah dan ini boleh menyebabkan sampan hanyut. Begitu juga ketika mereka berada di dalam air sama ada untuk tujuan mandi manda, menjala atau memukat ikan. Air yang laju memerlukan mereka bercakap pantas untuk mengkoordinasikan pergerakan mereka, jika lambat dan tersalah langkah, peralatan atau pukat mereka malah diri mereka mungkin bakal dihanyutkan air.
Di Termeloh pula, oleh kerana airnya tidak selaju di Jerantut, pendayung masih boleh berhubung dengan pace yang lebih perlahan walaupun tidak seperlahan di Pekan, di mana perjalanan para pengguna sampan atau rakit adalah amat mudah di mana mereka menghulu ketika air pasang, menghilir ketika air surut dan menyeberang ketika air mati. Oleh itu, berbanding dengan penduduk di hulu atau di tengah, penduduk di hilir tidak perlu bekerja keras dan tidak perlu berkomunikasi pantas ketika berada di dalam sampan atau rakit, atau berada di dalam air untuk tujuan-tujuan lain.

Ini menyebabkan mereka tidak perlu bercakap pantas dan tidak perlu mengejar masa, dengan itu perkataan dan gaya pertuturan mereka menjadi lebih panjang dibanding dengan orang di hulu atau di tengah. Oleh kerana sungai memainkan peranan yang amat penting yang mempengaruhi survival penduduk pada zaman dahulu, gaya pertuturan di sungai mempengaruhi gaya pertuturan setiap penduduk. Sebab itu penduduk di kawasan yang air sungainya bergerak perlahan, mereka juga bercakap dengan pace yang perlahan dan penduduk di kawasan yang air sungainya bergerak laju, mereka juga bercakap dengan pace yang laju selaju arus sungai di kawasan mereka.

Words, please. No emotions and rhetorics.

Dalam penulisan artikel sama ada esei atau cerpen bagi kertas bahasa Malaysia di dalam ujian dan peperiksaan yang dijalankan di sekolah, calon biasanya dikehendaki menulis esei atau cerpen dalam lingkungan 350 hingga 550 perkataan. Bagaimanapun bagi penulisan artikel bagi kertas bahasa Inggeris, calon biasanya diarahkan menulis artikel yang terdiri daripada tidak lebih daripada 350 perkataan, atau dalam lingkungan 350 perkataan.

Di dalam artikel bahasa Malaysia, tulisan mengandungi bawah daripada 400 perkataan dianggap kurang berisi, tetapi di dalam artikel bahasa Inggeris, tulisan mengandungi lebih daripada 400 perkataan dianggap excessive malah mengarut.

Semasa belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), saya terlibat dalam sesi-sesi pertandingan syarahan dan debat di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Saya mewakili MCKK dalam 'Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri' bagi bahagian bahasa Malaysia, dan turut diberi latihan perbahasan oleh guru-guru yang menyelia peserta-peserta dalam kumpulan perbahasan dalam bahasa Inggeris.

Apa yang menjadi kenangan yang pastinya tak dapat saya lupakan sekarang ialah, guru-guru yang membimbing kumpulan debat di dalam bahasa Malaysia sentiasa mengingatkan pembahas mereka supaya melontarkan ucapan dengan penuh gaya, intonasi suara dilagukan atau ditinggirendahkan, tangan dijulang atau diayun malah ditunjuk ke hadapan bagi mengiring ucapan. Ucapan tidak perlu berapi-api tetapi sedikit emosi adalah diperlukan. Lebih baik gaya atau cara unsur-unsur tersebut dipersembahkan, lebih terpikatlah audien dan juri dan lebih tinggilah peluang untuk memenangi pertandingan.

Bagaimanapun bagi kumpulan debat di dalam bahasa Inggeris, guru yang menyelia peserta memberi arahan yang agak berbeza. Bagi mereka, gaya adalah tidak penting kerana apa yang penting ialah hujah-hujah yang disampaikan. Tangan pembahas atau pemidato tidak perlu dijulang atau digoyang ke sana sini, ucapan tidak perlu berapi-api malah emosi tidak diperlukan sama sekali. Intonasi suara adalah perlu tetapi tidaklah sampai seperti dilagukan. Lebih banyak gaya yang ditonjolkan, lebih berapi ucapan yang diberi dan lebih emosional gaya persembahan pembahas atau pemidato, lebih 'menyampah'lah audien dan juri.

Pendeknya, apa yang diajar oleh penyelia debat atau syarahan di dalam bahasa Melayu adalah bertentangan hampir semuanya dengan apa yang diajar oleh penyelia di dalam bahasa Inggeris, kecuali dalam hal penekanan terhadap kepentingan isi hujah yang disampaikan.

Mr.Bala, guru penyelia debat di dalam bahasa Inggeris di MCKK bagi tahun 1978, pernah bertanya kepada ketua kumpulan debat di dalam bahasa Malaysia iaitu Saifuddin Abdullah (kini Dato' Saifuddin Abdullah - bekas Pengerusi Majlis Belia Malaysia), "Can't you perform like the English way of debating, no emotions, no excessive style, no rhetorics? Why can't you just present your facts and ingenuity through your plain words?"

Kami memberitahunya, "That's what we are doing now, sir.". Namun selepas beliau mengikuti persembahan kami, beliau merungut, "I still see lot of emotions, excessive style and rhetorics."

Semasa menjadi Majistret Kanan Teluk Intan, saya menghadiri suatu majlis anjuran Majlis Belia Tamil Teluk Intan, yang tamu kehormatnya ialah Dato' Megat Junid (Allahyarham Tan Sri Dato' Megat Junid), Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada masa itu (1989). Presiden Majlis Belia tersebut, yang memberi ucapan kepada hadirin dalam bahasa Tamil, memberi ucapan yang berapi-api dari saat mulai berucap hinggalah ke saat menghabiskan ucapan, walaupun beliau tidak marah sama sekali.

Sebaik beliau kembali ke tempat duduknya, Dato' Megat Junid berkata kepada beliau, "Dey, apa you cakap, hah? Macam orang marah?"

Sehingga kini ramai yang tidak menyedari bahawa disebabkan oleh faktor kepanjangan perkataan di dalam sesuatu bahasa mempengaruhi gaya pertuturan penutur bahasa itu. Apabila bercakap atau berbahas di dalam bahasa yang perkataannya adalah pendek-pendek, perkataan semata-mata adalah mencukupi untuk menyampaikan mesej dalam kerangka masa yang begitu terbatas (words alone were enough to deliver the messages within such limited time frame). Ini kerana perhatian audien sudahpun ditarik oleh apa yang akan disampaikan seterusnya dalam perkataan-perkataan yang akan diucap.

Namun di dalam bahasa yang perkataannya adalah panjang-panjang, words alone were not enough to deliver the messages within such limited time frame, lalu penutur atau pembahas memerlukan banyak unsur-unsur lain untuk menarik perhatian audien. Disebabkan oleh perkataan yang panjang, mesej bergerak lambat dan perhatian audien mudah terseliuh kerana jemu menanti mesej yang mahu disampaikan seterusnya, yang bergerak lambat disebabkan oleh faktor kepanjangan perkataan atau ungkapan yang mengandungi mesej tersebut. Di samping itu audien juga, disebabkan oleh rasa tak sabar menanti lalu mahu cepat membuat kesimpulan setelah mendengar atau melihat clue-clue tertentu, segera hilang tumpuan setelah menyangka yang dia telah mendapat mesej seterusnya sedangkan mesej tersebut belum dihabiskan penyampaiannya. Dengan gangguan-gangguan tersebut, dia semakin tidak dapat memberi tumpuan kepada apa yang cuba disampaikan di hadapannya.

Sebab itulah orang-orang yang bercakap di dalam bahasa yang perkataannya panjang-panjang, bila dia bercakap di dalam sesi yang kerangka waktunya adalah terbatas, misalnya di dalam perbahasan, syarahan, dan juga di dalam pertengkaran malah dalam perbualan biasa, mereka menggunakan banyak unsur-unsur tersebut iaitu intonasi yang berlebihan, emosi, awangan tangan dan sebagainya, untuk mengiringi lontaran perkataan mereka. Lebih panjang perkataan yang digunakan di dalam sesuatu bahasa itu, lebih tinggi dan lebih banyaklah unsur-unsur tersebut digunakan.

Pada tahun 1990, saya berkunjung ke Acheh bersama dengan Persatuan Karyawan Perak (kunjungan dipimpin oleh Abu Bakar Sidek, wartawan kanan Utusan Malaysia yang juga Naib Ketua Satu Persatuan Karyawan Perak) bagi menghadiri Muzakarah Ulama Se Indonesia anjuran Majlis Ulama Indonesia Propinsi Daerah Istimewa Acheh (MUIPDIA). Dalam surat yang saya terima daripada MUIPDIA (malangnya surat tersebut telah tidak dapat dikesan), saya menggeleng kepala membaca, antara lain, "Adalah saya merujukkan bapak yang terhormat kepada perkara yang tersebut di atas yang telah tersedia termaklum oleh bapak yang terhormat." Kebiasaan saya di dalam menulis surat rasmi ialah, "Saya rujuk perkara di atas".

Ketika berbual dan bergaul dengan ahli-ahli persatuan tersebut, saya dapati dua perkara yang cukup menarik minat saya, pertama, mereka menggunakan bahasa Indonesia yang sempurna (seperti bahasa persuratan Indonesia) ketika berkomunikasi walaupun dalam suasana yang tidak formal. Kedua, hampir semua mereka menggunakan intonasi dan gaya yang begitu ketara sehinggakan mereka seolah-olah berlagu di dalam dialog mereka. Kajian dan pemikiran saya akhirnya menemui sebab kenapa mereka bercakap dengan gaya sedemikian : perkataan yang panjang dan jumlah perkataan yang banyak dalam bahasa Indonesia yang sempurna yang cuba ditutur menyebabkan penuturnya memerlukan dialog seperti berlagu bagi menarik perhatian audien atau orang yang dilawan bercakap!

Semasa saya kecil dahulu, saya melalui pengalaman yang tidak saya sukai, iaitu perselisihan faham di antara dua orang yang sangat saya sayang, iaitu Pak Su dan Pak Tam. Pak Su adalah adik kepada ibu saya manakala Pak Tam adalah rakan baik Pak Su yang sentiasa bersama Pak Su walau di mana mereka berada. Mereka mengajar di sebuah sekolah yang sama di Alor Setar, namun, dalam dua atau tiga minggu sekali, mereka pasti sampai ke rumah kami dengan vespa Paksu walaupun jarak di antara Alor Setar dengan rumah kami di Bongor, Baling, adalah amat jauh iaitu lebih daripada 140 kilometer. Bagi kami dan juga Datuk dan Nenek serta semua abang dan kakak Pak Su, Pak Tam tak ubah seperti anak Datuk dan Nenek sendiri. Datuk dan Nenek tinggal di Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Seberang Perai.

Pak Tam yang telah bertunang kemudiannya jatuh hati dengan Kak Cik, anak Pak 'Njang iaitu abang Pak Su. Pak Tam memutuskan pertunangannya dan meminang Kak Cik dan tak lama kemudian mereka pun berkahwin. Ketika itu Pak Tam telah berpindah sekolah dan mengajar sebuah sekolah di Padang Serai.

Di hari majlis perkahwinan, Pak Su balik ke rumah Datuk, yang terletak bersebelahan rumah Pak 'Njang. Pada hari ketiga, Pak Tam datang berjumpa Pak Su dan meminta meminjam vespa daripada Pak Su. Berlaku pertengkaran di antara mereka. Pak Su yang terkilan dengan sikap Pak Tam yang tidak langsung menjenguknya sama sekali sejak hari pertama Pak Su sampai kerana leka dengan keluarga mertuanya dan kereta bapa mertuanya yang dipandunya ke sana kemari malah bila nampak Pak Su pun, menurut Pak Su, Pak Tam berpura-pura tidak nampak Pak Su.

"You have got a rich family, and got his car to be driven here and there, you can't even notice me anymore," demikian antara kata-kata Pak Su kepada Pak Tam. "Only now, when you want to use my vehicle, when you want to use me, you would come to me. What kind of friend are you!" Itulah antara perbualan mereka, yang tidak dapat saya tangkap sepenuhnya kerana pada masa itu bahasa Inggeris saya amat lemah, tetapi diceritakan semula oleh Pak Su kepada Datuk dan Nenek.

Sebenarnya hubungan di antara Pak Su dan Nenek dengan keluarga Pak 'Njang, terutamanya dengan Mak 'Njang dan Kak Cik, boleh dikatakan tidak baik. Nenek dengan Mak 'Njang sering sahaja bermasam muka dan tidak bertegur sapa, ada kalanya hingga bertahun-tahun. Jadi faham sahajalah kenapa Pak Su amat marah bila Pak Tam dianggapnya 'berlagak' dengannya sebaik sahaja menjadi menantu Pak 'Njang. Pak 'Njang adalah juga seorang guru dan ketika itu adalah guru besar sebuah sekolah kebangsaan tak jauh dari Lahar Yooi, dan Mak 'Njang pula duduk di rumah tetapi aktif bersawah dan melakukan kerja-kerja kampung seperti membela ayam itik, menahan lukah, tajok malah menjala ikan di sungai. Ikan haruan, keli, sepat dan puyu yang banyak ditangkapnya dikeringkan dan disalai dan dijual dan kami bersama Datuk dan Nenek adalah antara pembeli ikan-ikan kering Mak 'Njang (juga pembeli buah kundang di sebelah rumah Datuk yang dahulunya milik Datuk tetapi telah menjadi milik Mak 'Njang menerusi suatu urusan kekeluargaan).

Pertengkaran Pak Su dan Pak Tam di beranda rumah dan tidak dicampuri oleh sesiapa itu yang mengambil masa lebih daripada satu jam. Tetapi dialog-dialog antara mereka diucap bahasa Inggeris sepenuhnya, mungkin supaya Datuk dan Nenek serta ahli-ahli keluarga yang lain tidak memahami butir-butir pertengkaran mereka, oleh itu tidak ada sesiapa yang menyibuk turut campur. Kedua-duanya tidak meninggikan suara, yang tampak hanyalah pertukaran dialog, di akhir dialog, saya lihat Pak Tam menangis teresak-esak sambil menghidupkan vespa Pak Su. Walaupun Pak Su akhirnya meminjamkan vespanya kepada Pak Tam, namun sejak saat itu, mereka tidak pernah bertegur sapa atau saling mengunjung lagi walaupun Pak Tam telah bertukar status daripada seorang kawan kini menjadi menantu saudara Pak Su.

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah betapa, dalam dialog yang mengambil masa yang begitu lama, tidak ada pihak yang gagal mengawal emosinya. Pasti perasaan mereka telah diluahkan sepenuhnya, jika tidak, kenapa selepas itu mereka terus tidak bertegur sapa buat selamanya? Pasti ada dialog-dialog yang benar-benar menghiris perasaan masing-masing - tetapi mesej di dalam dialog tersebut disampaikan menerusi perkataan dan bukannya emosi atau pekekan.

Jika diperhatikan di sekeliling, serta menerusi paparan drama di filem atau tv, tentu kita dapat melihat betapa pertengkaran di dalam bahasa Inggeris, bahasa-bahasa Cina dan bahasa-bahasa yang perkataannya adalah pendek-pendek tidak begitu emosional. Di dalam filem-filem Inggeris, biasanya seorang yang amat marah sekalipun tidak meninggikan suaranya tetapi mengeluarkan kata-kata yang jelas terpancar kemarahannya walaupun bibirnya tersenyum ketika mengungkap kata-kata tersebut. Bagaimanapun di dalam budaya yang perkataan di dalam bahasanya adalah panjang-panjang, biasanya rasa marah dilontar menerusi perkataan yang beriring dengan emosi yang amat tinggi atau pekikan yang amat kuat, dan juga penggunaan perkataan mencerca yang tidak sepatutnya diucap.

Semua ini bertitik tolak daripada hakikat bahawa, lebih panjang perkataan-perkataan yang digunakan di dalam sesuatu bahasa itu, lebih pendeklah mesej yang dapat disampaikan menerusi bahasa tersebut. Bila mesej tidak dapat disampaikan secukupnya menerusi perkataan, sudah pasti ia terpaksa beriring dengan emosi, intonasi berlebihan, awangan tangan dan sebagainya. Sebab itu perbahasan atau pertengkaran di dalam bahasa-bahasa yang perkataannya adalah lebih pendek berlaku lebih cool walaupun kesan selepas itu adalah jauh lebih hebat.

Friday, February 15, 2008

Kenapa filem 'action' Melayu tampak lembab

Filem Melayu dikatakan tidak bermutu dan lembab. Penerbit, pengarah, pelakon dan keseluruhan tenaga produksi filem Melayu disalahkan kerana gagal menghasilkan filem yang berkualiti yang dapat menarik penonton ke pawagam. Masyarakat Malaysia juga dipersalahkan kerana kononnya tidak memberi sokongan kepada industri filem tempatan. Malah Kerajaan juga dipersalahkan kerana gagal memberi sokongan kepada industri filem Melayu.

Selain dari saya, tidak ada sesiapa pun setakat ini yang melihat atau menulis tentang betapa perkataan yang panjang menyebabkan filem-filem kita, dari aspek dialog dan jalan cerita, sukar dihasilkan. Buku RBBR (terbit pada 1991) yang pada tahun sebelumnya terbit di bawah tajuk Bahasa dan Tamadun Bangsa (BDTB) telah menyentuh secara ringkas tentang handicap yang menghalang penghasilan kualiti yang optimum bagi filem-filem kita, namun saya tidak tahu jika ada sesiapa yang memberi perhatian terhadap hujah yang saya kemukakan menerusi buku-buku tersebut yang jumlah jualannya adalah lebih daripada 10000 naskah.

Semasa berkesempatan berbual dengan Ahmad Tarmimi Serigar, host Selamat Pagi Malaysia selepas talk-show mengenai kaedah Mokhdar di TV satu pada suatu hari pada tahun 1990, saya sempat mengetengahkan tentang betapa kelemahan mutu produksi drama di dalam tv, filem dan teater Melayu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan faktor kepanjangan perkataan di dalam bahasa Melayu. "Kepanjangan perkataan menghasilkan jumlah mesej yang lebih pendek yang dapat disampaikan dibanding dengan jumlah mesej yang dapat disampaikan di dalam perkataan-perkataan dalam bahasa yang lebih pendek perkataannya dengan menggunakan kerangka waktu yang sama", demikian antara hujah saya.

Ahmad Tarmimi Seregar tidak dapat menerima hujah saya sama sekali kerana baginya, mutu sesebuah filem tidak ditentukan oleh dialognya semata-mata. Saya tidaklah mahu bertegang urat dengan beliau kerana sudah pastilah, sebagai seorang yang telah lama berkecimpong di dalam industri drama dan filem Melayu, beliau merupakan salah seorang daripada intelektual seni yang terperangkap dalam dunia intelektualnya sehinggakan sukar untuk melihat sudut pandangan yang berbeza daripada pandangannya. Sedangkan hujah beliau mudah sahaja dipatahkan, bahawa, memang benarlah kualiti sesebuah drama sama ada drama dalam tv, filem atau teater, tidak boleh diukur dari sudut dialognya sahaja, tetapi tanpa dialog yang baik, bagaimana sesebuah drama itu dapat mencapai kualiti yang terbaik kerana jalan cerita sesebuah drama bergantung hampir sepenuhnya kepada dialognya.

Memanglah filem-filem tanpa dialog Charlie Chaplin di zaman filem bisu pada era lima puluhan masih mampu mengemukakan jalan cerita dan menghiburkan penonton, tetapi dengan kebisuan tersebut, filem-filem tersebut hanya mampu menghiburkan penonton dengan aksi-aksi bodoh atau keterlaluan yang setelah dipapar menjadi bahan berulang kali, menjadi lawak slapstik yang akhirnya menjemukan penonton walaupun ia masih mampu menggeletek hati penonton-penonton yang rendah daya intelektualnya sama ada disebabkan oleh faktor usia, tahap pendidikan atau tahap mentalnya.

Sejak kaedah Mokhdar mulai saya hasilkan dan perkenalkan menerusi akhbar, TV dan radio sejak 1990, saya sering memberi ceramah mengenai kaedah tersebut di sekolah, kolej dan universiti, di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta dan di perhimpunan-perhimpunan masyarakat. Sekiranya audien saya terdiri daripada pelajar-pelajar menengah atau orang dewasa, atau pelajar tahap dua sekolah rendah, antara pesembahan saya yang pasti amat digemari dan mencuit hati audien sehingga mereka ketawa terbahak-bahak ialah lakonan tentang betapa dialog yang panjang menyebabkan aksi di dalam filem Melayu jadi lembab, tidak praktikal dan tidak real.

"I hate you. I don't want to see your face. You get lost right now or else, I'll slap you," demikian dialog 19 suku kata yang menjadi cliche saya . Saya ulang dialog tersebut dua kali dengan setiap adegan mengemukakan mood dan gaya yang berbeza. Akhirnya saya lakonkan adegan tersebut menggunakan bahasa Melayu yang sempurna, "Aku benci kepadamu. Aku tidak mahu melihat muka kamu lagi. Kamu berambus sekarang juga atau jika tidak, aku akan tampar kamu." (47 suku kata).

Selepas adegan tersebut, adegan seterusnya juga mendapat respons yang amat baik dan tepukan yang amat bergemuruh. Saya melakonkan adegan Hang Tuah bertarung dengan Hang Jebat, di mana ketika sedang bertarung, Hang Tuah berkata, "Oh adindaku Hang Jebat. Kekanda keletihan benar, marilah kita berehat sebentar." Ucapan hang Tuah disambut oleh Hang Jebat, "Benar kata kekanda itu. Adinda pun keletihan benar, marilah kita berehat sebentar."

Kemudian saya menegaskan, "Hang Tuah dan Hang berehat bukanlah kerana mereka letih. Pendekar tidak boleh letih, jika letih, mereka akan tewas. Hang Tuah berehat bukan kerana mereka letih. Mereka kerana mereka mahu bercakap, sebab sambil bertarung memang sukar untuk bercakap.".

"Jackie Chan tak apalah, dia boleh berlawan sambil bercakap.". (Lalu saya melakonkan babak Jackie Chan bertarung sambil bercakap dalam bahasa yang kononnya bahasa Kantonis). "Robin Hood juga boleh bertarung sambil bercakap - I hate you, I must kill you. Tetapi kita lain, oleh kerana perkataan kita panjang, ketika bertarung, kita kena berhenti bercakap. Ketika bercakap, kita kena berhenti bertarung."

"Mungkin ada baiknya, untuk menghasilkan filem Melayu yang lebih berkualiti, produser filem kita cuba menerbitkan filem Melayu dengan dialog di dalam bahasa Inggeris, atau menggunakan bahasa daerah yang lebih pendek perkataannya dan lebih praktikal di dalam filem. Kenapa tidak kita hasilkan drama atau filem yang berbudaya Melayu tetapi berbahasa Inggeris, daripada kita menghasilkan filem atau drama yang berbahasa Melayu tetapi berbudaya Inggeris?" begitulah syor saya di dalam ceramah-ceramah saya di sekitar tahun 1989 (di mana ketika itu buku RBBR dan BDTB serta kaedah Mokhdar belumpun diterbitkan) dan beberapa tahun seterusnya.

Buku RBBR dan BTTB berjumlah 12ooo naskah kehabisan stok selepas kira-kira setahun saya meletak jawatan, lebih kurang dua ribu daripadanya habis hancur dimamah anai-anai). Hampir keseluruhan daripada jumlah yang terjual dijual menerusi ceramah-ceramah saya. Antara jabatan kerajaan yang menganjurkan ceramah tersebut ialah Kementerian Penerangan Malaysia menerusi program yang diatur oleh Ketua Pengarah Penerangan, En.Yahya, yang diadakan di auditorium P.Ramlee, Angkasapuri pada tahun 1994. Antara audien yang padat memenuhi auditorium tersebut ialah para penerbit drama radio dan tv serta penerbit dokumentari dari Filem Negara Malaysia. Ketua Pengarah Penyiaran pada masa itu, Dato' Jaafar Kamin, turut hadir seketika sebelum meminta diri kerana terpaksa menghadiri majlis pengkebumian seorang aktivis seni terkemuka, yang juga merupakan bekas pegawai di RTM, di Alor Setar pada hari itu.

Saya kurang pasti adakah penerbitan sebuah drama Melayu berbahasa Inggeris lakonan Ogy Ahmad Daud, Mustapha Kamal dan Dato' Haji Rahim Razali, di mana keseluruhan dialog di dalam drama tersebut diucap di dalam bahasa Inggeris tetapi panggilan pangkat bagi watak-watak di dalamnya, seperti Abang Long, Pak Long, Pak Ngah dan sebagainya, menggunakan gelaran-gelaran tersebut.

"Abang Long, what have you done? I'm sure Pak Long would not like it at all," begitulah antara ungkapan Ogy Ahmad Daud kepada Mustapha Kamal dalam satu babak, jika tidak silap ingatan saya.

Apa yang saya pasti ialah, drama berbentuk sedemikian tidak lagi ditayang sama ada menerusi RTM atau TV3, mungkin disebabkan oleh rating yang amat rendah. Sebenarnya anak-anak dan isteri saya sendiri tidak meminati drama tersebut. Mereka terus sahaja beralih ke saluran lain waktu drama tersebut ditayang, sedangkan pelakon-pelakon yang terlibat adalah pelakon-pelakon yang amat popular dan berwibawa iaitu, antaranya, Ogy Ahmad Daud, Mustapha Kamal dan Dato' Rahim Razali.

Sebenarnya dari segi jalan cerita, drama tersebut tidak gagal. Yang gagal ialah penerimaan golongan audien yang biasanya mengikuti drama tersebut. Audien yang tidak menguasai bahasa Inggeris sudah pastilah tidak berminat dengan drama tersebut. Audien yang menguasai bahasa Inggeris pula, walaupun memahami dialog-dialog berbahasa Inggeris yang diucapkan dengan lidah Melayu, kebanyakannya merasakan bahawa drama tersebut tidak berpihak di bumi kenyataan, malah tampak mengada-ngada, lebih-lebih lagi sebahagian daripada dialog yang diungkap memang 'over' dan tidak diungkapkan oleh pelakon-pelakon drama dalam bahasa Inggeris sendiri. Dengan watak-watak berlatarbelakangkan sebuah keluarga Melayu, audien bukan Melayu pula tentulah tidak begitu berminat untuk mengikuti drama tersebut.

Drama Melayu di dalam dialog bahasa Inggeris mungkin dapat diterima oleh masyarakat sekiranya latar belakang cerita adalah latar belakang yang lebih real dalam penggunaan bahasa Inggeris, misalnya di pejabat peguam atau korporat dengan watak-wataknya terdiri daripada pelbagai bangsa kerana memang di sini penggunaan bahasa Inggeris lebih meluas dan lebih real bila dijadikan bahan filem.


Walaupun drama tersebut di atas dan sebuah filem Malaysia yang menggunakan dialog bahasa Inggeris telah gagal dari segi rating dan pasaran, namun ini tidak bermakna bahawa hujah saya mengatakan perkataan yang panjang menjadi penghalang atau handicap yang merendahkan kualiti filem Melayu adalah tidak benar. Memanglah benar, seperti kata-kata Ahmad Tamimi Seregar yang telah diucap kepada saya, bahawa mutu sesebuah filem tidak ditentukan oleh dialognya semata-mata. Namun ia tidak harus dilupa bahawa dialog yang baik dan tersusun kemas membentuk plot dan jalan cerita yang kemas yang bakal menentukan mutu sesebuah filem itu.

Menerusi tulisan ini, saya ingin membicarakan dengan lebih mendalam tentang kaitan di antara kepanjangan perkataan dengan kualiti sesebuah drama dalam drama tv dan filem. Oleh kerana teater mempunyai ciri-ciri yang berbeza daripada drama tv dan filem, terutama dari segi kerangka waktu dan prop yang terbatas, ia akan dibicarakan secara khusus dalam post lain.

*******

Drama di dalam sebuah drama tv atau filem adalah gabungan beberapa senario yang menjadi latar belakang bagi babab-babak yang dipenuhi dengan aksi dan dialog. Filem dalam era digital diperkuatkan lagi persembahannya dengan kesan bunyi dan paparan 3D. Bagaimanapun kekuatan jalan cerita di dalam sesebuah filem tetap bergantung kepada dialog. Tanpa dialog, drama di dalam sesebuah filem bakal menjadi paparan imej-imej bergerak yang membosankan. Kesan bunyi yang hebat dalam filem hanya bakal menjadi bunyi-bunyi bingit yang memekakkan telinga sekiranya tidak disertai dengan dialog yang berkesan yang dapat mengukuhkan cerita. (akan disambung .....)

Thursday, February 14, 2008

Kenapa Melayu malas membaca?

Tidak ada sesiapa pun dapat menafikan bahawa membaca adalah gerbang kepada segala ilmu. Orang yang mempunyai otak paling bergeliga sekalipun, sekiranya dia kurang membaca, atau malas membaca, dia tetap juga seorang yang tidak bermaklumat, atau dalam bahasa yang lebih kasar, bodoh. Budaya membaca di kalangan masyarakat Melayu, dibanding dengan masyarakat di Eropah, atau masyarakat Cina di Malaysia, adalah amat lemah. Pelajar atau orang Melayu bagaikan tidak suka membaca.

Bayangkan seorang peguam, majistret atau hakim yang kurang membaca jurnal perundangan, seorang doktor yang tidak membaca jurnal perubatan, seorang pegawai polis yang tidak membaca jurnal perundangan dan jurnal kepolisian, seorang ahli politik yang tidak membaca jurnal atau bahan tentang hal ehwal politik dan pentadbiran, seorang pelajar yang tidak membaca buku teks atau bahan-bahan rujukan tambahan.

Semua mereka yang malas membaca seperti ini, jika jadi seorang peguam, majistret atau hakim, dia bukan seorang peguam, majistret atau hakim yang baik. Jika dia jadi doktor, dia hanya mampu membuat kerja-kerja rutin seorang doktor biasa di klinik biasa, jika dia seorang pegawai polis, hasil siasatannya adalah lemah dan orang yang telah melakukan kesalahan yang amat serius sekali pun mudah sahaja dilepaskan atas alasan teknikal di sebabkan oleh siasatan yang lemah (bayangkan gabungan seorang hakim, pegawai pendakwa dan pegawai penyiasat yang lemah, makin bergandalah peluang untuk tertuduh melepaskan diri dari hukuman).

Jika dia jadi seorang ahli politik yang berkuasa, dia jadi ahli politik yang dangkal dan terperangkap di dalam kedangkalan dan kekuasaannya. Dia berpotensi jadi diktator yang mentadbir negara mengikut citarasa whimsicalnya.

Jika dia seorang pelajar, dia jadi pelajar yang sentiasa memeningkan kepala pengetua, guru besar dan guru-gurunya kerana bakal menyumbangkan kepada kerendahan prestasi keseluruhan sekolahnya di dalam bidang akademik. (Bayangkan pula gabungan seorang pelajar, guru dan pengetua atau guru besar yang lemah, maka makin bergandalah kelemahan prestasi sesebuah sekolah).

Apa yang menjadikan seseorang itu malas membaca sedangkan kerajinan membaca adalah antara kunci penting bagi kejayaan seseorang bagi setiap bidang yang diceburi seseorang, waimma bidang masak memasak atau pertukangan kayu! Di samping faktor pengaruh persekitaran, didikan dan faktor kelembapan minda, pernah tak anda terfikir bahawa faktor perkataan yang panjang memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya yang menyebabkan seseorang malas membaca.

Oleh kerana dia berada di dalam masyarakat, bersama dengan orang-orang lain yang juga malas membaca, dia membentuk suatu kumpulan masyarakat yang tidak gemar membaca - bererti dia membentuk environment yang seterusnya mempengaruhi ahli-ahli keluarga dan ahli-ahli masyarakatnya yang menyebabkan masyarakatnya jadi masyarakat yang tidak gemar membaca. Faktor ini berada dalam kitaran seperti kitaran ayam dengan telur, mana yang datang dulu, ayam atau telur?

Untuk mulai melihat bagaimana sebutan perkataan yang panjang mempengaruhi malas atau rajin seseorang membaca buku atau bahan-bahan bacaan lain, cuba sebut perkataan-perkataan berikut menurut kaedah ejaan bahasa Inggeris dan kaedah ejaan bahasa Melayu :

  • more : mo-re; pore : po-re; score : se-ko-re.
  • same : sa-me; name : na-me; came : ka-me.

Di dalam contoh-contoh yang diberi di atas, semua perkataan mengandungi jumlah huruf yang sama, tetapi dari segi penggunaan masa, sebutan di dalam bahasa Melayu menggunakan detik masa yang sekali ganda lebih panjang.

Jika anda menyebut 'more' seribu kali, bererti anda perlu menggunakan seribu detik. Jika satu detik bersamaan dengan 0.25 saat, seribu detik bererti anda menggunakan 250 saat.

Jika anda menyebut 'mo-re' seribu kali, bererti anda perlu menggunakan dua ribu detik. Jika satu detik bersamaan dengan 0.25 saat, dua ribu detik bererti anda menggunakan 500 saat.

Berdasarkan kepada premis yang sama, membaca sebuah buku atau bahan di dalam bahasa Melayu dengan artikel di dalam bahasa Inggeris yang mempunyai jumlah perkataan yang sama banyak atau hampir sama banyak memerlukan penggunaan masa yang berbeza. Misalnya, jika membaca buku di dalam bahasa Inggeris mengambil masa selama dua jam, membaca padanannya atau terjemahannya di dalam bahasa Melayu pasti akan mengambil masa paling tidak tiga jam kalau tidak pun empat jam.

Cuba lihat petikan laporan akhbar berikut :

STAR Monday 11 February 2008 (15 suku kata)

Koh to move. (3 suku kata)

Penang CM prefers to contest at federal level. (15 suku kata)

BUTTERWORTH: Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon is set to move to the Federal level after confirming that he prefers to move on. Breaking his silence on his political future, the Penang Chief Minister and Gerakan acting president said that he met Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi on Saturday and informed him about this. (90 suku kata)

"I sought his views and told him of my strategy. My preference is to move to a federal post for the benefit of the people. Pak Lah said he will consider it and makea decision," he told reporters at the Jelutong Gerakan Chinese New Year open house here yesterday. (72 suku kata)

Dr.Kho also said that he had given Abdullah a list of three candidates to take over as chief minister if he was accepted to contest a parliamentary seat. (46 suku kata)

Keseluruhan jumlah suku kata : 241 suku kata.

STAR Isnin 11 Februari 2008 (18 suku kata)
Koh melangkah. (4 suku kata)
KM Pulau Pinang memilih bertanding kerusi parlimen (18 suku kata)

BUTTERWORTH: Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon telah memutuskan untuk bertukar ke kerusi parlimen selepas mengesahkan yang beliau ingin bergerak ke hadapan. Memecahkan kebisuannya mengenai masa depan politiknya, Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemangku presiden Gerakan itu berkata bahawa beliau telah menemui Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Sabtu dan memaklumkan kepada beliau tentang perkara ini. (153 suku kata)

"Saya mendapatkan pandangannya dan memberitahu beliau tentang strategi saya. Pilihan saya ialah untuk bertukar ke persekutuan bagi faedah rakyat. Pak Lah berkata yang beliau akan mempertimbangkannya dan akan membuat keputusan," kata beliau kepada para pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina parti Gerakan di sini kelmarin. (114 suku kata)

Dr.Kho juga berkata yang beliau telah memberi kepada Abdullah senarai nama tiga calon yang akan mengambil alih jawatan ketua menteri jika beliau diterima bertanding kerusi parlimen. (66 suku kata)

Keseluruhan jumlah suku kata : 383 suku kata.

Nisbah penggunaan masa bagi membaca laporan tersebut di atas di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ialah 383 : 241. Mengambil skala di atas, jika A adalah seorang yang cekap di dalam bahasa Melayu dan B pula memiliki kecekapan yang setara A tetapi di dalam bahasa Inggeris, jika A mengambil 383 minit (6 jam 23 minit) untuk membaca sebuah buku, B pula mengambil masa selama 241 minit (4 jam satu minit) untuk membaca buku yang sama tetapi dalam versi bahasa Mekayu.

Perbezaan jumlah masa yang digunakan oleh mereka ialah 383-241 iaitu 142 minit yang bersamaan dengan 2 jam 22 minit. Setelah empat jam berlalu, B telah menghabiskan bacaannya lalu berehat, begitu juga A. Setelah habis waktu berehat, B membuat bacaan kedua dan oleh kerana bacaan tersebut adalah bacaan kedua, pada jam lebih kurang 4 petang, dia telah selesai membaca buku tersebut bagi bacaan kali kedua tersebut. Manakala A pula, pada lebih kurang jam 4 petang tersebut, dia baru menghabiskan bacaan kali pertamanya. Oleh kerana telah keletihan, dia berkira-kira mahu membuat bacaan kali kedua pada hari esoknya. Malangnya oleh kerana masa yang berlalu di antara waktu bacaannya telah berselang sehari, banyak fakta yang telah dilupainya dan esoknya, jika B mengambil masa dua kali lebih laju daripada bacaan pertama, A tidak dapat menggunakan masa sebaik penggunaan masa oleh B. Bacaannya masih juga lambat.

Oleh kerana bebanan masa yang begitu lama, akhirnya dia malas membaca atau membaca sambil lewa lalu tidak dapat memahami sebaik B akan apa yang dibacanya, serta tidak dapat memupuk minat terhadap apa yang dibacanya. Lalu aktiviti membaca baginya menjadi amat membosankan dan membebankan. Fobia dengan pengalaman tersebut, dia jadi semakin malas membaca dan ilmunya semakin berkurangan. B pula, semakin banyak dibaca, semakin ia meruntun minatnya lalu dia membaca banyak lagi bahan-bahan lain. Akhirnya B meninggalkan A di belakang walaupun pada asalnya mereka adalah sebenarnya sama taraf dari segi genetik, sikap, permakanan, environment, guru, keluarga, kedudukan ekonomi dan sebagainya.

Apa yang dibincang di atas belum lagi mengambil kira faktor-faktor lain yang menjadikan bahan di dalam bahasa Melayu memerlukan masa yang lebih lama untuk dibaca. Faktor-faktor tersebut ialah :

  • Istilah yang panjang.

Banyak ungkapan di dalam bahasa Inggeris yang pendek tetapi menjadi panjang bila diterjemahkan ke bahasa Melayu. Antara contohnya ialah : "I miss you (8 huruf): Saya rindu kepadamu (17 huruf)"; "Hence" (5 huruf): "justeru" (7 huruf)"; "Have you booked the fligt?" (21 huruf) : "Sudahkah awak membuat tempahan tiket penerbangan?" (43 huruf); "Please sign him up" (15 huruf) : "Sila daftarkan nama dia" (20 huruf); "We have clinched our deal" (19 huruf) : "Kami telah memuktamadkan urusniaga kami dan akan melaksanakan urusniaga antara kami" (73 huruf).

Faktor ini memperbanyakkan jumlah perkataan. Sebab itu, jika buku di dalam bahasa Inggeris setebal 200 muka surat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, di tangan penterjemah yang tidak tahu menilai erti keperluan menggunakan perkataan secara economic mungkin (lalu, sebagai contoh, menterjemahkan 'if' jadi 'jikalaulah sekiranyalah'), terjemahan ke bahasa Melayu tersebut paling tidak akan mengandungi 250 muka surat. Untuk membaca 50 muka surat tambahan, pembaca perlu menggunakan masa tambahan antara 30 ke 60 minit. Makin malaslah seseorang itu membaca buku di dalam bahasa Melayu. Oleh kerana penguasaan terhadap bahasa Inggeris juga amat lemah, lantas dia tidak membaca di dalam apa-apa bahasa pun.

  • Sikap penulis / penterjemah

Penulis atau penterjemah terlalu terbawa-bawa dengan sistem nahu (dan sebagainya) di dalam bahasa Inggeris. Mereka sentiasa mencari istilah padanan untuk bahasa Melayu bagi setiap perkataan di dalam bahasa Inggeris walaupun perkataan padanan itu, berdasarkan sistem bahasa Melayu, adalah sebenarnya tidak perlu.

Sebagai contoh, menjadi kemestian bagi penulis atau perterjemah sedemikian untuk memberi padanan bagi particle a dan the, tanpa mengambil kira bahawa penggunaan articles tersebut di dalam Bahasa Inggeris adalah tidak janggal dan tidak membebankan ungkapan. Lihat contoh berikut :

"The Director General shall appoint a director and two deputy directors in every state. In the event of sudden vacancy of the director of deputy director post or posts, notwithstanding the cause or event giving rise to such vacancy, the most senior person not below the rank of assistant director shall assume the post left vacant. In the absence of such person from the state, the Director General shall immediately appoint any such person from any other state to assume such post."

Frasa seperti di atas sering diterjemahkan menjadi, "Ketua Pengarah hendaklah melantik seorang pengarah dan dua orang timbalan pengarah bagi setiap negeri. Dalam hal berlakunya kekosongan secara tiba-tiba bagi jawatan atau jawatan-jawatan pengarah atau timbalan pengarah, tanpa mengambil kira sebab atau peristiwa yang menyebabkan kekosongan tersebut, orang yang paling kanan tidak lebih rendah daripada pangkat penolong pengarah hendaklah mengisi jawatan yang ditinggalkan kosong tersebut. Dalam hal ketiadaan orang sedemikian daripada negeri itu, Ketua Pengarah hendaklah dengan serta merta melantik mana-mana orang sedemikian daripada mana-mana negeri lain untuk mengisi jawatan berkenaan".

Oleh kerana frasa di atas menimbulkan implikasi perundangan, penterjemah atau penggubal khuatir bahawa mengabaikan perkataan tertentu di dalam bahasa Inggeris, walaupun perkataan tersebut adalah tidak perlu, mungkin menghasilkan bencana perundangan yang tidak dapat dijangka. Lantas 'a director' diterjemahkan jadi 'seorang pengarah' walaupun perkataan 'pengarah' tanpa 'seorang' sebenarnya sudah memberi maksud yang amat konklusif. Penterjemah atau penggubal sedemikian memberi alasan tambahan iaitu keperluan penggunaan penjodoh bilangan yang merupakan 'part and parcel of the Malay language'.

Dari sudut ini pula, penterjemah atau penggubal sedemikian tidak pula menghayati bahawa penggunaan 'penjodoh bilangan' bakal menghasilkan kekeliruan di dalam gubalan perundangan - bakal menghasilkan bencana perundangan yang tidak dapat dijangkakan. Tidakkah perkataan 'dua orang timbalan pengarah' itu boleh menghasilkan dua erti, pertama, 'dua timbalan pengarah' (tanpa menggunakan penjodoh bilangan, maksud dari segi gubalan perundangan adalah amat konklusif), dan kedua, ungkapan 'dua orang timbalan pengarah' itu boleh membawa maksud lain iaitu 'dua orang timbalan pengarah' dalam maksud yang menghasilkan konteks yang sama dengan 'dua orang Mahathir', 'dua orang PM', 'dua orang presiden' dsb. 'Dua orang' di sini bukan bererti ada 'dua orang Mahathir', 'dua orang PM' atau 'dua orang presiden'. 'Orang' di sini boleh membawa kepada maksud 'pengikut', 'orang suruhan' atau 'wakil' bagi Mahathir, PM atau presiden tersebut.

Semua perkataan yang diwarnakan merah di dalam contoh di atas merupakan perkataan-perkataan yang, disebabkan oleh sistem nahunya, menjadi perlu di dalam ungkapan perundangan di dalam bahasa Inggeris tetapi di dalam bahasa Melayu, ia sebenarnya adalah redundant atau superfluous.

Di samping itu, kerana ia menjadi sumber bacaan, ia akan menjadi kegunaan dan kebiasaan umum dan ia akan memparahkan lagi segala masalah yang berkaitan dengan pembaziran masa menerusi penggunaan perkataan dan suku kata yang tidak perlu - menambahkan lagi kos komunikasi dan kos pengurusan kita, dan melembabkan lagi kelajuan pemikiran dan tindakan kita.

Wednesday, February 13, 2008

Sukar berbicara di dalam lagu

Menulis lirik di dalam bahasa Melayu, atau di dalam bahasa yang perkataannya adalah panjang-panjang, adalah suatu tugas yang amat sukar. Ini kerana di dalam kerangka waktu yang terbatas untuk dendangan sesebuah lagu, penulis lirik mesti mencuba menyampaikan mesejnya sebaik mungkin dengan menggunakan ungkapan yang seindah dan sepadat mungkin.

Antara ciri-ciri yang menentukan baik atau tidaknya sesuatu mesej yang disampaikan di dalam sesebuah lagu ialah kepadatan dan ketajaman maksud yang terungkap menerusi setiap patah perkataan. Bagi menghasilkan kepadatan maksud yang mahu disampaikan, sudah pastilah lebih banyak perkataan yang dapat diungkapkan, lebih padatlah maksud yang hendak disampaikan. Perkataan-perkataan tersebut pula mestilah didendangkan dalam tempo yang kemas dan tidak dilajukan sebutannya semata-mata kerana mahu memasukkannya ke dalam tempo.

Sebagai contoh, ungkapan “I must be crazy now, may be I dream too much” (12 suku kata), jika dipadankan dengan ungkapan di dalam bahasa Melayu yang membawa maksud yang serupa, akan berbunyi, “Pastinya aku tak keruan sekarang, mungkin aku terlalu banyak berkhayal” (24 suku kata), jika mahu dimasukkan ke dalam tempo nyanyian Celine Dion, akan menghasilkan kekalutan sebutan lantaran ia mengandungi jumlah suku kata dua kali ganda lebih banyak daripada senikata bersamaan erti di dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu, perkataan yang panjang sudah pastilah mengurangkan kepadatan mesej yang mahu disampaikan. Jika jumlah unit mesej yang disampaikan di dalam contoh di atas dikira berdasarkan satu perkataan satu mesej, maka untuk mengungkap 12 mesej, lagu di dalam bahasa Inggeris menggunakan hanya 12 suku kata dibanding dengan lagu di dalam bahasa Melayu yang menggunakan 24 suku kata, sedangkan tempo yang mengawal jumlah perkataan yang diungkapkan di dalam setiap bait di dalam setiap lagu di dalam semua bahasa adalah bersifat universal. Ia tidak ditentukan oleh sesuatu bahasa. Yang menentukannya ialah rentak atau irama lagu itu, sama ada rentak atau irama balada,twist, rock, raggae, slow-rock, blues, inang, keroncong, march, samba atau sebagainya.

Dengan perkataan yang pendek, lirik amat mudah dihasilkan. Perkataan-perkataan yang biasa, straight-forward dan berterus-terang boleh diungkap indah dengan pilihan perkataan-perkataan yang tepat.

Perkataan-perkataan dalam ungkapan “I just call to say I love you, I just call to say how much I care,” dendangan Stevie Wonder, merupakan perkataan-perkataan biasa yang mampu diucap oleh seseorang kekasih di dalam keadaan biasa, di pasar, dalam perbualan telefon, di pejabat atau sebagainya, malah boleh diucap oleh seorang suami yang telah lama mengahwini isterinya, walaupun kedengaran sedikit puitis. Namun bila didendang, lebih-lebih lagi dengan suara yang mendayu-dayu tetapi bersahaja, menghasilkan keindahan yang luar biasa yang memukau bukan sahaja pendengaran tetapi juga pemikiran audien di seluruh dunia.

Namun jika ungkapan yang membawa maksud yang sama diungkap diungkap di dalam bahasa yang perkataannya panjang-panjang, misalnya, di dalam bahasa Melayu, ungkapan di atas berbunyi, “Aku hanya menelefonmu untuk mengatakan yang aku cinta kepadamu, aku hanya menelefonmu untuk mengatakan yang betap aku amat mengambil berat tentangmu”, pasti kedengaran terlalu bombastik, dan terlalu puitis yang menyebabkan seorang jejaka atau gadis yang telah berpisah bertahun-tahun dengan gadis atau jejaka yang terlalu amat dirinduinya pun, tidak mampu mengungkapkannya untuk kekasihnya apa lagi jika mereka bertemu di pasar atau di pejabat. Mungkin ia boleh diucap di telefon, tetapi walau sejujur mana sekali pun di ungkap, ungkapan itu akan kedengaran seperti tidak ikhlas dan mengada-ngada.

Lebih banyak mesej yang dapat disampaikan di dalam sesebuah lagu, lebih kemas ungkapan yang diucap bagi setiap tempo, dan lebih pendek ayat yang terkandung di dalam setiap bait lirik atau puisi, lebih berkesan dan lebih indahlah dendangan sesebuah lagu itu di telinga dan benak pendengar. Bahasa yang perkataan-perkataannya panjang-panjang sudah pasti mengalami handicap di dalam aspek ini – perkataan yang panjang tidak akan mampu menghasilkan ungkapan yang pendek tetapi padat (short but sharp expressions) sebagaimana yang mampu dihasilkan menerusi ungkapan perkataan di dalam bahasa-bahasa yang pendek perkataannya.

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, kita kaji dua buah lagu yang pastinya diminati oleh hampir semua rakyat Malaysia, yang mempunyai irama dan tempo yang seperti hampir sama :

Celine Dion
I Love You


I must be crazy now,

may be I dream too much,
but when I think of you ,
I long to feel your touch.

To whisper in your ear,
words that are old as time,
words only you would hear
if only you were mine.

I wish I could go back to the very first day I saw you,
should've made my move when you looked in my eyes,
'cause by now I know that you'd feel the way that I do,
and I'd whisper these words as you'd lie here by my side.

I love you, please say you love me too,
these three words, they could change our lives forever,
and I promise you that we will always be together,
till the end of time.

So today, I finally find the courage deep inside,
just to walk right up to your door,
but my body can't move when I finally get to it,
just like a thousand times before.

Then without a word he handed me this letter,
read I hope this finds the way into your heart, it said.

I love you, please say you love me too,
these three words, they could change our lives forever,
and I promise you that we will always be together,
till the end of time.

Well maybe I, I need a little love yeah,
and maybe I, I need a little care,
and maybe I, maybe you, maybe you, maybe you,
oh you need somebody just to hold you,
if you do, just reach out and I'll be there.

I love you, please say you love me too,
please say you love me too.
Till the end of time, these three words,
they could change our lives forever,
and I promise you that we will always be together.

O0oh, I love you, please say you love me too,
please please say you love me too,
till the end of time.

My baby together, together, forever,
till the end of time, I love you, I will be your light,
shining bright, shining through your eyes my baby.

Jumlah suku kata : 379
Jumlah perkataan : 350

Siti Nurhaliza
Aku Cinta Padamu


Andainya engkau kumiliki, terdahulu sebelumnya.
Andai kucurah rasa hati, mungkin kini ku‘kan tenang di sampingmu.
Belum puas kumenikmati, kesan kasih sayang kau terpaksa pergi.
Ingin kuterus dicintai, walau bisikanmu azimat berduri.

Bila cinta berbunga, jadi airmata di jariku.
Betapa kucinta padamu, katakanlah kau cinta padaku.
Sematkanlahku di hatimu, walau di mana berada,
ingat kudalam doamu.

Hiasilah hati dengan cinta suci, selamanya.

Bila cinta berbunga jadi airmata di jariku.

Betapa kucinta padamu, katakanlah kau cinta padaku.
Sematkanlahku di hatimu, walau di mana berada, ingatku dalam doamu.

Hiasilah hati, dengan cinta suci selamanya.
Gemerlapkan jiwa, semikanlah cinta, semoga kau dan aku akhirnya bersama.
Aku ‘kan menunggu walaupun seribu tahun lagi.

Gemerlapkan jiwa, semikanlah cinta, semoga kau dan aku akhirnya bersama.
Aku ‘kan menunggu walaupun seribu tahun lagi.

Betapa kucinta padamu, katakanlah kaucinta padaku.
Sematkanlahku di hatimu, walau di mana berada ingatku dalam doamu.

Hiasilah hati dengan cinta suci selamanya.
Gemerlapkan jiwa, semikanlah cinta, semoga kau dan aku akhirnya bersama.

Aku ‘kan menunggu walaupun seribu tahun lagi.

Jumlah suku kata : 449
Jumlah perkataan : 197

Perhatikan bahawa di dalam dua buah lagu di atas, lagu ‘I love you’ dendangan Celine Dion mengandungi 350 perkataan yang diungkap dalam 379 suku kata sahaja, sedangkan lagu “Aku cinta padamu” dendangan Siti Nurhaliza pula mengandungi 197 perkataan sahaja yang diungkap dalam 449 suku kata!

Monday, February 4, 2008

Kenapa lawak Melayu slapstik?

Kenapa lawak Melayu terpaksa
bergantung kepada lawak slapstik?


Lawak slapstik bererti lawak yang menggunakan modal atau bahan yang berulang-ulang yang telah sering digunakan dan telah menjadi cliché. Lawak-lawak seperti berlagak pondan, menggunakan mimek muka yang bodoh, perbuatan yang bodoh, rasa terkejut yang dibuat berlebih-lebihan, dialog yang membawa pengertian berganda dan salah satu erti lagi boleh dianggap berbaur lucah, dsb, bolehlah dianggap sebagai lawak slapstik kerana ia telah acapkali ditayangkan di dalam filem-filem Charlie Chaplin, The Three Stoodges, filem-filem karya Seniman Agung iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Mr.Bean dan sebagainya.

Mr.Bean lahir dengan genrenya yang tersendiri kerana walaupun ia menggunakan aksi bodoh, tetapi ia dipamirkan dalam perpekstif baru yang disandarkan kepada suatu fakta bahawa Bean adalah suatu makhluk dari planet lain yang sedang belajar memahami manusia di bumi. Jadi, walaupun dari satu segi ia adalah lawak slapstik, namun lawaknya dapat diterima kerana ia tampak segar dan sebenarnya bersifat intelektual dalam slapstiknya.. Sebab itu bila siri komedi Melayu cuba mengambil menyalin watak Mr.Bean melalui Bendul, ia menjadi amat slapstik, memperbodohkan audien dan jadi amat membosankan.

Lawak-lawak dari kumpulan Senario juga, berbeza dengan lawak mereka semasa di awal kehadiran Senario dulu, yang walaupun slapstik tetapi dibentang dengan cara yang menyegarkan, sudah menjadi terlalu slapstik, terutamanya dalam slot yang dipersembahkan di TV3 sekarang. Asyik-asyik pelakon-pelakonnya menggunakan bahasa yang membawa pengertian berganda yang membayangkan maksud yang teramat lucah sebagai bahannya.
Persembahan peserta-peserta Raja Lawak di ASTRO, walaupun slapstik, tetapi dapat diterima dalam perpekstif mereka sebagai orang-orang yang baru diketengahkan sebagai pelawak. Ia menghiburkan menghiburkan namun jika itu yang diulang-ulang dan diulang pula oleh muka-muka yang sama, ia bakal membosankan.

Persoalannya, kenapa lawak Melayu jadi lawak slapstik dan akhirnya memualkan? Apakah mahu disalahkan pelawak-pelawak Melayu sedangkan mereka telah memerah tenaga dan keringat memberikan persembahan yang terbaik, mencari idea sebanyak mungkin untuk menghiburkan audien namun apa yang dijangka sebagai lawak akhirnya menjadi bualan kosong yang menghambarkan dan sama sekali tidak mencuit hati audien. Akhirnya mereka terpaksa mengambil jalan mudah – daripada membiarkan audien tidak ketawa sama sekali maka adalah lebih baik membiarkan audien mengetawakan mereka kerana tugas mereka ialah menjadikan audien terhibur dengan ketawa.

Kenapa susah benar menghasilkan lawak yang terhasil dari dialog yang natural, tidak menggunakan bahan yang berulang-ulang sehingga hilang ‘kick’nya. Sekali lagi ia tidak dapat lari daripada fakta bahawa perkataan yang panjang menghasilkan kesukaran untuk menghasilkan lawak yang tidak slapstik dan segar. Ini kerana lawak yang tidak slapstik hanya boleh dihasilkan menerusi dialog yang tajam dan mencuit hati serta mencabar intelektual audien. Lawak yang menggunakan lagak pondan, memek muka yang bodoh, perbuatan yang bodoh, rasa terkejut yang dibuat berlebih-lebihan, dialog yang membawa pengertian berganda dan berbau lucah, sudah pastilah akan menghasilkan kesan slapstik kerana ia telah terlalu acapkali ditonton. Ruang menghasilkan lawak dengan perlakuan-perlakuan ini tentulah amat terbatas kerana sifatnya sendiri yang juga amat terbatas.

Berbeza dengan lawak menggunakan perkataan, ia boleh sahaja menghasilkan lawak-lawak baru yang segar bila diadunkan dengan perkembangan semasa. Ia boleh dihasilkan menerusi kejutan yang tidak dapat dijangka oleh intelektual audien lantas ia menghasilkan deraian ketawa dan ketawa itu bukan kerana audien memperbodohkan pelakon, tetapi kerana merasa intelektualitinya tercabar. Namun untuk menghasilkan lawak sedemikian, pelakon mesti memberikan latar belakang yang mencukupi tentang sesuatu scene jika tidak mahu ungkapannya tidak memberi apa-apa kesan kepada mood audien.

Saya teringat kepada peristiwa yang dialami oleh saya sendiri pada tahun 1986 di mana saya dimasukkan ke wad selama dua minggu kerana mengidap malaria. Sebelum dimasukkan ke wad, saya telah dua kali ke klinik swasta dan sekali ke Hospital Besar Kuala Lumpur, mencadangkan kepada doktor yang saya mungkin terkena jangkitan malaria yang antara simptomnya adalah demam berselang hari. Beberapa hari sebelum itu pula saya berkunjung ke rumah ipar saya yang terletak di dalam kebun getah di Bera, Pahang. Walaupun saya tidur di dalam kelambu, tetapi kelambu kami amat sempit dan dan pintu dan birai kelambu mudah sahaja terkuak jika tersentuh oleh kaki atau tangan. Saya tidak boleh melelapkan mata sama sekali kerana disengat nyamuk tanpa henti sehingga tubuh saya penuh dengan bintat-bintat kesan gigitan nyamuk.
Namun semua doktor yang merawat saya tidak mempercayai saya kerana menurut mereka kejadian malaria di Malaysia bagaikan telah mustahil berlaku sama sekali. Pemeriksaan ke atas darah saya juga tidak menunjukkan yang saya mengidap malaria (virus malaria hanya boleh dikesan ketika ia aktif iaitu ketika pengidap mengalami demam yang kuat)

Suatu hari saya rebah di dalam kamar dan saya menyelinap ke bawah meja untuk mengurangkan rasa sejuk yang luar biasa dan tubuh saya menggigil dan kejang. Pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat meluru masuk ke dalam bilik dan segera mengejarkan saya ke hospital. Bila darah saya diperiksa, barulah doktor dapat melihat aktiviti virus malaria di dalam tubuh saya. Lalu saya ditahan di wad lebih kurang dua minggu. Semua pegawai dan kakitangan pejabat di Bahagian Gubalan dan di bahagian-bahagian lain heboh memperkatakan tentang saya – mungkin kerana mereka hairan atau memperlekehkan saya kerana mengidap malaria di dalam negara yang boleh dikatakan telah bebas hampir sepenuhnya dari malaria.

Tiga bulan kemudian saya mengidap demam sekali lagi. Rakan-rakan terus mengejarkan saya ke hospital kerana bimbang yang serangan malaria berulang kembali. Saya ditahan selama dua hari dan dilepaskan setelah doktor pasti bahawa demam tersebut adalah demam biasa dan bukan malaria.

Besoknya Bahagian Gubalan tempat saya bekerja mengadakan suatu majlis perpisahan untuk meraikan pegawai yang dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke bahagian lain. Sebaik Ketua Bahagian, Dato’ Aziz, melangkah masuk dan duduk di tempat yang dikhaskan untuk beliau, beliau terpandang saya dan terus bertanya, “Mokhtar, apa kata doktor tentang demam you?” Saya yang sudah menjangka yang soalan tersebut pasti akan ditanya oleh beliau, terus menjawab kuat, “Disahkan bukan malaria, Dato’.”


Tanpa saya duga, jawapan tersebut menghasilkan deraian ketawa yang bergemuruh daripada semua yang hadir. Dato’ Aziz yang bertanya juga tidak dapat menahan dirinya daripada turut sama tergelak.

“Klasik betul jawapan kamu, Mokhtar,” kata senior saya.

Apa yang menyebabkan audien ketawa ialah, jawapan yang padat dan rengkas itu menjawab pelbagai persoalan yang timbul. Sudah pastinya apa yang ingin diketahui oleh semua yang hadir pada masa itu adalah sama ada saya diserang malaria semula. Bila saya mengatakan, “disahkan bukan malaria”, bagi mereka, ia sudah cukup mencabar daya intelektual mereka , yang meng‘kagumi’ ketangkasan saya untuk membaca apa yang bermain di minda Dato’ Aziz dan semua yang hadir bila soalan itu dilontarkan.

Namun suasana ‘humor’ ini tidak akan wujud sekiranya hadirin yang hadir di dalam majlis itu tidak dibekalkan dengan fakta bahawa saya telah terjatuh dan menggigil di dalam kamar saya di pejabat, bahawa saya, seorang pegawai, telah diserang demam malaria di dalam negara boleh dikatakan telah bebas sepenuhnya dari ancaman malaria, dan bahawa saya telah berkali-kali berdebat dengan doktor dan rakan-rakan sepejabat bahawa saya terkena malaria dan mereka menidakkannya.

Namun dalam dunia kehidupan, ‘audien’ yang ter’hibur’ dengan jawapan saya telah dihidangkan dengan kisah tersebut, yang mengambil jangka masa yang amat lama. Sedangkan di dalam persembahan, sama ada menerusi ruang pentas drama, drama tv atau filem, kekangan masa menghadkan pembentangan latar belakang kepada apa yang menimbulkan unsur humor itu. Lebih-lebih lagi perkataan-perkataan yang panjang di dalam bahasa Melayu menyebabkan jumlah mesej yang mencukupi tidak dapat dibina di dalam perjalanan cerita untuk kemudiannya menghasilkan ungkapan yang dapat strike perasaan penonton supaya tidak dapat menahan diri daripada ketawa.

Sebuah filem lama Richard Chamberlain, “Allan Quartermail in the Lost City of Gold”. Dari awal cerita Allan, lakonan Richard Chamberlain, digambarkan sebagai seorang yang lasak, rugged, happy go lucky dan tidak begitu peduli tentang apa yang berlaku kepadanya atau kepada Helen, gadis yang menjebakkan dirinya sehingga berada di dalam kumpulan yang menjejak sebuah bandar emas yang telah hilang. Tiba-tiba, di pintu masuk ke the Lost City of Gold tersebut, Helen terjatuh ke dalam lubang yang dalam yang sebenarnya adalah pintu masuk ke the Lost City.

Bila terjatuh, dia menjerit kuat sebelum tiba-tiba dia terdiam. Sebenarnya dia bernasib baik kerana lubang dalam itu dipenuhi dengan daun dan sampah sarap yang menyebabkan dia tidak cedera. Ketika sampai ke dasar, dia menjerit kuat dan kemudiannya terus diam, lalu bangun dan membersihkan dirinya daripada sampah yang melekat pada tubuhnya.
Allan yang berada bersama seorang Negro amat panik dan risau dengan apa yang berlaku ke atas Helen. Mereka berpandangan dan terdiam sebentar. Setelah menunggu buat seketika dan mereka tidak mendengar apa-apa suara dari Helen, Allan menjerit kuat, “Helen, are you allright down there?”

Sebaik mendengar suara Allan sayup-sayup dari atas tetapi amat jelas di telinganya, Hellen membentak marah dan melaung dengan kuat, “Course I am not allright down here. What do you thing I am doing down here huh?”

Allan dan si Negro berpandangan, dan Allan terus tersenyum sambil berkata kepada si Negro, “Means, she’s all right”.

Perkataan yang mencuri hati penontoh sehinggakan mereka ketawa tiga kali mengikuti scene ini ialah perkataan ‘down here’, dikuatkan lagi humornya dengan latar belakang mengenai watak-watak yang telah dibina sejak awal cerita.

Sekiranya Allan sekadar menyebut, “Helen, are you allright?”, sudah pasti ia tidak mencuit hati. Begitu juga sekiranya Helen hanya sekadar menjawab, “Okay, I am allright”, tidak ada sesiapa pun akan ketawa. Ia juga tidak akan membolehkan ucapan Allan menghasilkan deraian ketawa yang ketiga bila dia tersenyum kepada si Negro dan berkata, “Means she allright”.

Cuba kita gunakan dialog di dalam bahasa Melayu bagi melakonkan babak-babak tadi.

Setelah Helen terjatuh, Allan menjerit kuat, “Helen, adakah awak berada di dalam keadaan baik di bawah sana?” . Helen pun menjawab, “Sudah tentulah saya tidak berada di dalam keadaan yang baik di bawah ini. Apakah yang awak fikirkan tentang apa saya sedang lakukan di bawah ini, hah?”. Lalu Allan tersenyum kepada Negro dan berkata, “Bererti yang dia berada di dalam keadaan baik”.

Sudah tentu dialog ini tidak akan menghasilkan kesan humor sama sekali, malah membosankan. Ini kerana, intelelektual audien akan bertanya, apakah dalam suasana cemas seperti itu mereka mempunyai masa untuk mengucap dialog sepanjang itu? Lalu dialog yang diungkapkan itu akan dianggap mengada-ada, tidak berpijak di bumi kenyataan dan tidak mungkin dapat diucapkan dalam keadaan cemas seperti itu. (Jumlah keseluruhan dialog yang dibentang di atas ialah 27 suku kata di dalam bahasa Inggeris dan padanannya di dalam bahasa Malaysia ialah 91 suku kata).

Satu pilihan lagi bagi mengungkapkan peristiwa di atas ialah dengan menggunakan ungkapan yang pendek, misalnya, “Helen, awak tak apa-apakah di bawah sana?”. Lalu jawab Helen, “Awak ingat saya buat apa di bawah sini, hah?” Lalu sambil tersenyum, Allan berkata kepada si Negro, “Syukur.” (32 suku kata). Sudah tentulah dialog sebegini tidak akan melahirkan kesan humor sama seperti kesan yang dilahirkan oleh ungkapan dialog di dalam bahasa Inggeris, kerana kekurangan mesej.

Sesuatu yang mesti diingat ialah, untuk menghasilkan lawak yang intelektual, di samping plot yang kemas dan latar belakang yang mencukupi untuk menghasilkan rentetan beberapa peristiwa, dialog yang diucapkan mestilah “short and sharp. Oleh kerana perkataan Melayu panjang-panjang sebutannya, persamaannya ialah ia tidak short dan bila ia tidak short, ia tidak akan sharp. Sebab itu jangan disalahkan sutradara dan pelakon filem-filem Melayu bila lawak mereka slapstik dan tidak menjadi kerana perkataan yang panjang menghasilkan handicap untuk mereka melakukan sebaik yang dilakukan oleh sutradara dan pelakon-pelakon dalam filem-filem dalam bahasa-bahasa yang perkataannya adalah pendek-pendek.

Inilah antara sebab yang amat meyakinkan saya bahawa, demi kemajuan bangsa dan bahasa kita yang tercinta, perkataan kita mesti dijadikan semakin pendek dan bukannya semakin panjang. Di dalam matematik, kebenaran cadangan ini telah dibuktikan secara konkrit menerusi kaedah Mokhdar.

Thursday, January 31, 2008

Perkataan lebih panjang - emosi lebih tinggi

Individu yang mempunyai emosi yang lebih tinggi lebih cepat marah, lebih cepat meninggikan suara dan lebih cepat berputus asa. Jika dia belajar dan dia merasa apa yang dia pelajari itu adalah susah dan tidak dapat difahaminya walau dicubanya berkali-kali, dia akan berhenti mencuba dan terus menganggap apa yang dipelajari itu memang tidak boleh difahami. Jika dia mencuba sesuatu business venture dan dia mengalami kegagalan, dia terus berputus asa dan menghentikan segala apa yang telah dilakukannya dan mengalami kerugian yang tidak dapat ditebus kerana menghabiskan banyak modal untuk overhead bagi venture yang telah dimulakannya.

Daripada pengamatan terhadap kaum-kaum di Malaysia, didapati bahawa orang India adalah orang yang paling emosional, diikuti dengan orang Melayu dan orang Cina adalah orang yang paling cool. Seorang peniaga telah menggantung diri di sebuah kompleks membeli belah di Seremban pada tahun 2003 kerana tidak tahan dengan hutang yang ditanggung - cuma sekitar RM30000. Seorang peniaga Cina menggantung diri setelah menggantung isteri dan anak-anak kecilnya kerana tidak tahan menanggung hutang - sekitar 50 juta ringgit!

Semasa bertugas sebagai Majistret Kanan Teluk Intan (1989 hingga 1993), saya dapati bahawa 90% insan yang membunuh diri dari kalangan orang yang waras fikiran ialah orang India, diikuti oleh orang Cina. Bagi kebanyakan kes bunuh diri di kalangan orang India tersebut adalah disebabkan oleh sebab yang amat remeh, antaranya, di marahi emak, bapa atau ahli keluarga yang lain, mencapai keputusan peperiksaan yang walaupun tidak gagal tetapi tidak mengatasi keputusan yang telah dicatat oleh kakaknya, putus cinta atau ditinggalkan kekasih walaupun di dalam alam cinta monyet, jauh hati kerana merasakan yang diri tidak dipedulikan, dan sebagainya. Biasanya kejadian bunuh diri yang melibatkan orang Cina yang waras adalah disebabkan oleh masalah yang lebih kompleks, seperti tidak tertahan menanggung hutang yang semakin menimbun, atau menanggung derita dan malu yang tidak tertanggung kerana isteri atau suami bermain kayu tiga, dan sebagainya.

Di samping faktor agama dan kepercayaan (faktor anutan agama Islam adalah faktor yang menyebabkan kurangnya kejadian membunuh diri di kalangan orang Melayu di Malaysia), tentulah ada faktor lain yang menyebabkan kenapa emosi orang-orang tertentu adalah lebih tinggi daripada orang-orang lain sehinggakan kejadian bunuh diri banyak berlaku di dalam masyarakat mereka. Harus diingat bahawa, walaupun kejadian bunuh diri tidak begitu berlaku di kalangan orang-orang Melayu yang waras, namun emosi mereka dilepaskan dengan cara lain seperti melatah, berhasad dengki, bermasam muka, mengumpat dan sebagainya. Melatah, hasad dengaki, bermasam muka dan mengumpat ini bagaikan menjadi suatu penawar untuk mengurangkan tekanan perasaan orang-orang Melayu sehinggakan ia dapat mengurangkan kejadian bunuh diri di kalangan mereka.

Apa kaitan perkataan yang panjang dengan emosi yang tinggi sehingga melahirkan fenomena bunuh diri, melatah, mengamuk dan sebagainya?

Bila perkataan yang digunakan di dalam suatu komunikasi adalah panjang, orang yang berkomunikasi ini mengambil masa yang lebih lama untuk meluahkan pendapat atau perasaannya. Sewaktu berbahas atau bertengkar, biasanya setiap orang tidak bersabar mahu meluahkan kata-katanya. Disebabkan oleh perkataan-perkataan yang panjang sebutannya, masa yang lama terpaksa di ambil untuk menuturkan perkataan-perkataan yang mahu diungkapkan. Ini menghasilkan beberapa keadaan :

  1. Semakin panjang ucapan yang diucap ketika berbahas atau bertengkar, semakin tinggilah emosi penuturnya.
  2. Oleh kerana perkataan yang diucap panjang-panjang, pihak yang mendengar dan menunggu giliran untuk bercakap merasa cepat jemu, tidak sabar mahu bercakap dan jika dia tidak agresif, dia mungkin hilang tumpuan terhadap apa yang diucap oleh lawannya. Oleh itu orang yang sedang bercakap terpaksa meninggikan suara, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, untuk terus menarik perhatian orang yang dilawannya berbahas.
  3. Oleh kerana tidak sabar mahu meluahkan kata-katanya, pihak yang satu lagi, jika agresif, akan mengambil tindakan yang sama iaitu meninggikan suaranya untuk mengatasi suara lawannya. Semakin lama keadaan jadi semakin tidak terkawal dan tindakan atau perkataan yang lebih agresif seperti menggunakan kekerasan fizikal atau menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya diucap (seperti mencarut, menghina atau menzahirkan perkataan seperti, 'kita putus saudara', 'engkau bukan adik aku lagi', 'aku tidak halalkan makan minum engkau', 'engkau memang macam syaitan', 'engkau memang iblis', 'engkau anak haram', dan sebagainya.
  4. Satu atau kedua-dua pihak mungkin mengambil tindakan tidak bertegur sapa selepas itu, atau merasai perasaan benci yang tidak dapat digambarkan, tidak peduli antara satu sama lain, tidak mahu berkomuniksi, dan sebagainya.

Sebab itu, dalam masyarakat yang perkataannya panjang-panjang, sekiranya seseorang ingin mengelak daripada terlibat di dalam pertikaian dengan anggota keluarga, rakan-rakannya, majikan atau pekerjanya, dan lain-lain, dia mengambil sikap berdiam diri atau menyimpan perasaannya di dalam dirinya untuk mengelak pertikaian atau pertengkaran yang lebih besar dengan anggota keluarga, rakan, majikan atau pekerjanya. Ini sedikit sebanyaknya menghasilkan pula komplikasi lain :

  1. Dia memendam perasaannya sehinga akhirnya dia tidak dapat lagi menahan perasaan itu dan akibatnya, dia meledakkan perasaannya sepuas hatinya dan hasilnya, berlaku perpecahan yang lebih besar dengan anggota keluarga, rakan, majikan, pekerja atau lain-lain. Dalam kes yang lebih extreme, dia mengambil tindakan merajuk, meninggalkan rumah, cuba membunuh diri atau membunuh diri bagi menggambarkan rasa terkilan atau marahnya yang keterlaluan.
  2. Ibu-ibu tua yang sering terkilan dengan sikap anak-anaknya yang tidak mempedulikannya mengelak daripada menyuarakan rasa hatinya kerana takut mekukakan hati anak dan menantu, atau berlaku pertengkaran dengan anak-anak menantu. Oleh kerana perbuatan anak menantu,dan cucu-cucu, semakin lama semakin menekan perasaannya, namun dia tidak berkuasa mahu menegur mereka secukupnya, dia menyimpan segala perasaannya di dalam dadanya. Oleh kerana sentiasa tertekan dengan perasaannya, dia semakin menjadi pelupa dan kadang-kadang tidak sedar apa yang dilakukannya. Dalam keadaan ini, bila dia terkejut, dia mulai melakukan tindakan-tindakan di luar daripada kawalannya, dimulakan, misalnya, dengan reaksi terkejut. Namun 'perbuatan' terkejut itu menjadi bahan tawa dan seterusnya, menjadi bahan hiburan anak, menantu dan cucunya. Dari situ dia mendapati yang dia mulai diberi perhatian oleh anak, menantu dan cucu dan dia meng'agresif'kan lagi reaksi tersebut, misalnya dengan menguatkan lagi 'jeritan terkejut'nya atau dengan melebih-lebihkan lagi reaksi latahnya. Bukan sahaja anak, menantu dan cucu-cucunya makin terhibur dengan telatah nenek mereka, tetapi dia sendiri semakin terhibur dengan telatahnya dan reaksi anak, menantu dan cucunya terhadap telatahnya. Akhirnya reaksi ini menjadi tabiat yang tidak dapat dikawal lagi dan akhirnya jadilah dia seorang pelatah. Mungkin ini juga yang menerangkan kenapa orang lelaki kurang mengalami sindrom latah ini lantaran mereka lebih mudah meluahkan perasaan dengan cara yang melukakan hati anak, menantu dan cucu mereka (seperti marah dan sebagainya) oleh itu perasaan terkilan tidak terpendam di dalam jiwa mereka sehingga akhirnya ia diledakkan dalam bentuk lain. Sebab itu jugalah wanita yang kuat berleter tidak begitu mempamirkan sindrom latah ini.

Wednesday, January 30, 2008

Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi

Di dalam buku Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi (RBBR) - yang diterbitkan pada awal tahun 1990 dan beberapa bulan sebelumnya diterbitkan di bawah tajuk 'Bahasa dan Tamadun Bangsa' (1989), saya memberi perspektif baru tentang kenapa orang-orang Melayu gagal bersaing dengan orang-orang lain, khususnya orang-orang Cina, dalam berbagai bidang.

Jika orang-orang lain, termasuk para pemimpin dan inteleks, melihat bahawa orang-orang Melayu gagal bersaing disebabkan oleh sikap, genetik, pemakanan (lalu Kerajaan menjalankan program membekalkan susu dan makanan berkhasiat - yang tidak berkhasiat - kepada pelajar sekolah), manja, suka memilih yang mudah, tidak gemar bersaing, polisi penjajah, ibu bapa yang tidak insaf, guru yang tidak bermotivasi, dan sebagainya, bagi saya semua ini adalah faktor secondary yang bertitik-tolak dari faktor yang lebih penting : bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengaturcara minda serta untuk berkomunikasi sama ada komunikasi dalaman atau komunikasi dengan pihak lain.

Saya melihat faktor kepanjangan perkataan di dalam bahasa yang menjadi medium berfikir dan berkomunikasi sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kekalahan di dalam persaingan. Sebagai hujah permulaan, tidakkah bila ungkapan 'wa ai ni' (Mandarin - 3 suku kata) = I love you (English - tiga suku kata) = Aku nak hang (bahasa Melayu dialek utara - 4 suku kata) = Aku cinta kepadamu (Bahasa Melayu - 8 suku kata) dan Na'i kutta katte kalik kerren (Tamil - 10 suku kata) memberi implikasi yang amat signifikan terhadap pengurusan masa seseorang? Katakan bercakap di telefon, ungkapan yang menggunakan tiga suku kata memerlukan kos tiga unit, ungkapan yang menggunakan empat suku kata pula memerlukan kos empat unit, seterusnya ungkapan yang menggunakan lapan suku kata memerlukan kos lapan unit dan ungkapan yang memerlukan sepuluh suku kata memerlukan kos sepuluh unit.

Di terjemahkan semua kos ini kepada kos perbualan telefon, kos menaip, kos dakwat, kos mesyuarat, kos upah pekerja dan sebagainya, ini bererti aktiviti yang digunakan menggunakan medium bahasa yang panjang perkataannya menyebabkan lebihan kos yang bila dikumpulkan dalam nisbah bahasa-bahasa di atas iaitu Mandarin : English : BM dialek utara : BM : Tamil, ia menjadi 3:3:4:8:10. Jika kos ini merupakan kos perbualan telefon dan setiap unit kos menggunakan 10 sen, ini bererti nisbah kosnya ialah 30 : 30 : 40 : 80 : 100 sen. Dihimpunkan satu juta pengguna telefon dari kalangan yang berbahasa Mandarin : English : BM dialek utara : BM : Tamil, ia menjadi RM30000 : RM30000: RM40000: RM80000: RM100000.

Kandungan di dalam buku tersebut bukan sekadar berkisar di sekitar aspek-aspek ekonomi, tetapi juga aspek-aspek lain, misalnya, kenapa emosi orang yang bahasa ibunda dan bahasa pemikirannya adalah bahasa yang mempunyai perkataan yang panjang-panjang adalah lebih tinggi daripada orang-orang yang bahasa ibunda dan bahasa pemikirannya terdiri daripada bahasa yang pendek-pendek akan sebutan perkataannya. Jawapannya ialah, perkataan yang panjang menyebabkan luahan perasaan menggunakan perkataan adalah lebih sukar dan memakan masa lebih lama, oleh itu penutur biasanya memilih jalan pintas dengan meninggikan suaranya atau memerahkan mukanya, atau kedua-duanya sekali, untuk meluahkan perasaannya.

Anda tidak perlulah membaca buku yang telah dicetak dan dijual lebih daripada 8000 naskah tersebut kerana apa yang dibicarakan di dalam blog ini telah memaparkan secukupnya apa yang telah dibicarakan di dalam buku tersebut. Sementelahan pula buku tersebut ditulis pada 1986 - dan perkembangan selama lebih dua puluh tahun, terutamanya perkembangan pesat dunia IT, kian hari kian mengukuhkan lagi apa yang telah saya suarakan di dalam buku tersebut dan ia akan dibicarakan di dalam blog ini. Semakin dunia IT berkembang maju, semakin tampak jelas bahawa cara minda dan tubuh manusia beroperasi adalah benar-benar sama dengan cara sesuatu jaringan komputer dan software bekerja. Hanya jumlah komputer dan software yang bersemadi di dalam sistem tubuh manusia adalah terlalu banyak dan tentulah tidak dapat disaing oleh mana-mana komputer ciptaan manusia. Hal ini juga dibicarakan di dalam blog ini.

Fakta yang dibincang secara terperinci di dalam blog ini akan terus dikemaskini dan pembaca dialu-alukan untuk memberi respons, maklumat dan kritikan berguna agar blog ini akan dapat menyumbangkan sesuatu yang berfaedah untuk kemajuan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaysia yang semakin lama semakin perlu memberi ruang yang lebih adil kepada semua kaum dan semua golongan masyarakat untuk menikmati kekayaannya dalam persaingan yang lebih adil. Sekiranya orang-orang Melayu terus memerlukan tongkat untuk terus berdiri, kita akan mudah jatuh walaupun atas sebab yang amat ringan. Kita tidak sepatutnya lagi hidup menggunakan tongkat, kerana orang yang terpaksa berdiri dengan menggunakan tongkat adalah orang yang lemah dan tidak mungkin dapat bersaing dengan orang lain yang dapat berdiri gagah tanpa apa-apa bantuan. Namun selagi sebab sebenar yang menyebabkan mereka gagal bersaing tidak diberi perhatian, sama ada ia tidak diketahui atau kewujudannya terselindung oleh sentimen atau ego yang tidak membawa orang Melayu ke mana-mana, bangsa Melayu akan terpaksa terus hidup menggunakan tongkat.

Di dalam blog ini, saya akan cuba menghuraikan dengan panjang lebar tentang fakta-fakta yang telah saya sentuh di dalam RBBR, fakta-fakta yang kemudiannya telah melahirkan Kaedah Mokhdar sebagai suatu wadah untuk menyelesaikan masalah kegagalan orang-orang Melayu di dalam persaingan mengejar kemajuan dalam bidang matematik, sains dan teknologi. Sebagai jalan keluar bagi mengatasi masalah orang Melayu di dalam persaingan kehidupan, saya telah mencadangkan di dalam RBBR yang diterbitkan pada tahun 1989/1990 itu supaya, "demi kemajuan bangsa Melayu dan bahasa Melayu yang tercinta, perkataan Melayu hendaklah dijadikan makin lama makin pendek dan bukannya makin panjang. Sementara bahasa Melayu menjadi antara bahasa yang paling maju di dunia, jika tidak pun yang paling maju, penguasaan bahasa Inggeris hendaklah diperkasakan semula di kalangan anggota masyarakat.

Bagi mengatasi masalah kelemahan pelajar Melayu dalam bidang matematik - tunjang kepada subjek sains dan teknologi, saya telah mencadangkan supaya subjek-subjek matematik diajar dalam bahasa Inggeris kerana sebutan angka, simbol, ungkapan dan ayat matematik di dalam bahasa Inggeris adalah lebih pendek dan padat dengan demikian pengurusan input-input mathematical (sama ada untuk dihafal, diproses, diolah, ditulis atau sebagainya) akan jadi jauh lebih mudah bagi pelajar Melayu (setelah mengalami kegagalan meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak saya dengan cara mencuba menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pemikiran mathematical mereka, gagal disebabkan oleh faktor environment bahasa di mana bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa budaya di dalam keluarga saya dan di dalam masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi setelah penemuan kaedah Mokhdar, saya mendapati bahawa jika cadangan tersebut dilaksanakan, ia akan menghasilkan keadaan di mana yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.

Sebab itu pada tahun 2001, ketika Kerajaan mengumumkan dasar untuk melaksanakan pembelajaran matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris, saya menulis surat kepada YAB Perdana Menteri (Dato' Seri Dr.Mahathir bin Mohammad) meminta supaya Kerajaan tidak meneruskan dasar tersebut. Orang-orang Melayu yang tidak hidup di dalam environment bahasa Inggeris akan mengalami kesulitan berganda di dalam memahami dan menyelesaikan masalah-masalah di dalam pembelajaran matematik dan sains, takut nanti, sebagaimana yang telah saya alami ketika memaksa anak-anak saya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa minda untuk pemikiran mathematical mereka dulu, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Pelajar SRJK Tamil yang dulunya menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium hafalan sifir mereka (mereka tidak mampu melakukannya di dalam bahasa Tamil kerana terlalu panjang) akan menggunakan bahasa Inggeris dan bagi kebanyakan orang India, penggunaan bahasa Inggeris tidak menjadi masalah bagi mereka. Di negara India sekalipun, selain bahasa Hindi, bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi negara itu dan kebanyakan orang India di Malaysia, termasuk yang tinggal di estet, menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah. Environment bahasa Inggeris adalah lebih dekat di kalangan orang India dibanding dengan orang Melayu, terutamanya orang Melayu yang tinggal di luar bandar. Di dalam surat tersebut, saya mencadangkan supaya, jika Kerajaan mahu terus melaksanakan polisi mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya akan diikuti dengan sistem pembelajaran bagi semua subjek, kecuali bahasa Malaysia dan Pengetahuan Agama Islam, di dalam bahasa tersebut, saya mencadangkan kepada Perdana Menteri agar menulis surat kepada semua Nazir masjid supaya mengarahkan tuan-tuan khatib membaca khutbah Jumaat di dalam bahasa Inggeris.

Namun surat saya tidak diberi perhatian sama sekali, sekurang-kurangnya, Perdana Menteri tidak pernah membalas walau satu pun surat saya walaupun menurut apa yang diberitahu kepada saya oleh En.Zainuddin Mydin, Ketua Pengarang Utusan Malaysia ketika itu (1992), Y.A.B. Perdana Menteri Dato' Seri Dr.Mahathir membaca sendiri semua surat yang dihantar kepada beliau. Mungkin kerana sasaran Kerajaan dalam e-TEM bukanlah mahu memperkasakan penguasaan subjek matematik dan sains di kalangan pelajar, tetapi lebih kepada untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di sebabkan oleh kepentingan penguasaan bahasa Inggeris di dalam zaman globalisasi ini.

Bagi saya, jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi sasaran, sepatutnya, atas sebab strategik, Agama Islam yang sepatutnya diajar di dalam bahasa Inggeris. Ini bukan sahaja kerana lebih kurang 99% buku, makalah dan sumber ilmu mengenai agama Islam ditulis dalam bahasa Inggeris, mengatasi jumlah bahan di dalam bahasa Arab sendiri, apa lagi bahasa Melayu, tetapi juga kerana, penggunaan perkataan bahasa Inggeris di dalam amalan hidup seseorang Muslim adalah jauh lebih banyak daripada apa yang digunakan di dalam pembelajaran matematik. Penggunaan dan pendedahan yang lebih banyak ini menghasilkan kekuatan yang lebih baik bagi seseorang di dalam penguasaan bahasa Inggeris dibanding dengan apa yang dapat didedahkan dan digunakan di dalam pembelajaran matematik.

Ini juga akan dibicarakan secara panjang lebar di dalam blog ini.

Pembaca blog ini tidak dihalang daripada mencetak dan mengedarkan kandungan blog ini untuk diedarkan kepada rakan-rakan, dengan syarat ia tidak dicetak secara komersial kerana ini bukan sahaja mencabul hak intelektual saya sebagai pemilik blog ini, tetapi juga menyentuh hati dan perasaan saya sebagai seorang insan yang menulis dan memerlukan banyak modal dan pengorbanan untuk mengetengahkan segala hasil pemikiran saya. Saya akan berusaha untuk membukukan segala bahan yang terdapat di dalam blog ini agar ia lebih mudah dibaca oleh masyarakat umum terutama kalangan yang jauh dari era IT, di samping menjadikannya sebagai bahan souveneir yang mudah dihadiahkan kepada setiap orang yang disayang atau dihargai.